KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga jilid dokumen diserahkan pihak pendakwaan dalam kes membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya.
Dokumen itu sebagai persediaan perbicaraan selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.1 juta.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan telah menyerahkan tiga jilid dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun Mahadi memaklumkan masih terdapat beberapa dokumen yang belum diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Pertahanan dan Bursa Malaysia.
“Pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga jilid dokumen-dokumen dibawah Seksyen 51A kepada kedua-dua tertuduh.
“Ada baki dokumen lagi yang kami belum peroleh daripada pihak SSM, Mindef dan juga pihak Bursa Malaysia dan sekiranya kita dapatkan satu lagi tarikh, untuk kami dapatkan dokumen-dokumen tersebut dan serahkan,” katanya.
Pada prosiding hari ini, pihak pembelaan diwakili peguam bela, Fahmi Abd. Moin.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi baki penyerahan dokumen pada 27 Julai ini.
Mengikut pertuduhan, bekas PTD itu didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000 yang didepositkan ke dalam akaun Bank Muamalat miliknya di antara 7 Mei dan 25 Jun 2025, di cawangan utama bank itu di Jalan Melaka di sini.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,153,400 yang didepositkan dalam akaun Maybank miliknya menjadikan jumlah keseluruhan wang hasil aktiviti haram didakwa diterima ialah RM2,122,400.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025 di Menara Maybank dan Maybank cawangan Bukit Damansara di sini.
Bagi isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin, dia sebagai Pengawal Syarikat (company controller) Wany Venture didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM57,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikatnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di antara 24 November dan 4 Disember 2024 di CIMB cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II di sini.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, di antara 25 Januari dan 25 November 2025, di lokasi sama, Salwani didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM20,000.
Pasangan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Subsekyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan yang digunakan ketika kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










