PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menumpaskan aktiviti penjualan barangan berjenama menggunakan cap dagangan palsu di lima premis di sekitar kawasan Padang Besar, di sini, Selasa lalu.
Operasi yang dijalankan sekitar pukul 2 petang itu melibatkan anggota penguatkuasa seramai 17 orang dengan turut disertai oleh wakil cap dagangan terlibat.
Pengarah KPDN negeri, Rohaida Hassan berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan awal dilakukan mendapati lima premis terlibat telah menjual pakaian yang mengggunakan cap dagangan palsu.
“Pengesahan awal oleh pemilik cap dagang mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] telah dilakukan, iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan bagi maksud perdagangan barang-barang yang menggunakan cap dagangan palsu,” katanya di sini, hari ini.
Rohaida berkata, susulan itu, pasukan serbuan turut bertindak menyita baju jenis jersi dan seluar pelbagai saiz yang disyaki menggunakan cap dagangan palsu dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM169,000.
Beliau berkata, lima tindakan kes juga telah dihasilkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
“Sekiranya sabit kesalahan, pesalah individu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan cap dagangan palsu atau dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan seterusnya, denda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya boleh dikenakan.
“Manakala bagi pesalah syarikat atau pertubuhan perbadanan, hukuman denda maksimum adalah sebanyak RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan meningkat sehingga RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Tambah Rohaida, KPDN negeri juga memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak melanggar undang-undang harta intelek yang ditetapkan.
“KPDN Perlis amat mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada pemilik cap dagangan yang sah untuk menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti pemalsuan ini secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN










