Pendaftaran politeknik cecah 125 peratus

Pendaftaran politeknik cecah 125 peratus

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 30,488 pelajar baharu memilih melanjutkan pengajian di politeknik seluruh negara bagi sesi 2026/2027 dan merekodkan kadar pendaftaran melebihi 125 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pencapaian itu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) di negara ini.

“Saya dimaklumkan sehingga semalam ketika pendaftaran ditutup pada pukul 5 petang, seramai 30,488 pelajar baharu politeknik mendaftar di seluruh negara.

“Apa yang kita dapati, ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan dan melebihi 125 peratus, bukan hanya 100 peratus.

“Kebiasaannya apabila satu jumlah ditawarkan, ia bergantung kepada respons daripada mereka. Tetapi pada kali ini, kita dapati respons yang sangat menggalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, ibu bapa daripada pelbagai latar belakang kini semakin terbuka menghantar anak-anak mengikuti pengajian di politeknik sama ada di peringkat diploma mahupun ijazah.

“Ramai dalam kalangan ibu bapa yang bukan hanya semata-mata daripada keluarga  berpendapatan rendah tetapi juga daripada keluarga berpendapatan sederhana dan tinggi, menghantar anak-anak mereka mengikuti program-program di peringkat politeknik.

“Ini merupakan satu perubahan besar dan menunjukkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang berusaha menambah bilangan kursus ijazah yang ditawarkan termasuk menaik taraf lima politeknik yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya ingin memaklumkan program ijazah di peringkat politeknik semakin mendapat tempat dan kerajaan sedang berusaha untuk menambahkan lagi bilangan kursus di peringkat ijazah di politeknik. 

“Baru-baru ini, kita telah mengumumkan sebanyak lima politeknik untuk dinaik taraf bagi menawarkan program-program di peringkat ijazah dan kita harap program-program dalam bidang teknikal ini akan mendapat sambutan baik,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN