PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam urusan pemberian kewangan kepada negeri-negeri, termasuk Johor.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, urusan tersebut dilaksanakan berdasarkan undang-undang bertulis dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hassan berkata, Perkara 109(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu memberikan pemberian ikut kepala kepada setiap negeri pada setiap tahun kewangan.
Katanya, pemberian itu dibuat berdasarkan peruntukan dalam Bahagian I Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah Perkara 110(1) pula, setiap negeri berhak menerima hasil daripada cukai, fi dan sumber pendapatan lain seperti yang dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hassan berkata, kerajaan negeri yang tidak berpuas hati dengan pemberian kewangan berkenaan boleh membawa perkara itu kepada Majlis Kewangan Negara.
Katanya, Perkara 108(4) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Kerajaan Persekutuan berunding dengan Majlis Kewangan Negara mengenai pemberian yang dibuat kepada negeri-negeri.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada, mana-mana kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN Johor nanti boleh membawa isu berkaitan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu, sekiranya terdapat pertikaian, kepada Majlis Kewangan Negara,” katanya. – UTUSAN









