Pemangku Sultan beri perkenan, bukan campur tangan

Pemangku Sultan beri perkenan, bukan campur tangan

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor dan bukannya melibatkan campur tangan istana.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau selaku Menteri Besar tidak boleh membubarkan DUN sesuka hati dengan pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan.

Katanya, dakwaan bekas penyandang DUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa kononnya pihak istana telah mengarahkan pembubaran DUN Johor tidak benar sama sekali.

“Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya umum pembubaran DUN Johor kepada rakyat secara terbuka. Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Mohd. Puad mengumumkan keluar daripada UMNO dengan memberi alasan terdapat campur tangan pihak istana dalam membuat keputusan melibatkan parti itu.

Beliau mendakwa Onn Hafiz membuat pengakuan kepadanya bahawa bahawa pihak istana yang menitahkannya kepada agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun lalu.

Onn Hafiz berkata, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R khususnya berkaitan institusi diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

“Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pengunduran Mohd. Puad daripada UMNO bukanlah disebabkan parti itu dikawal pihak luar sebaliknya kerana kecewa anaknya tidak dipilih menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, Mohd. Puad telah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Onn Hafiz agar mempertimbangkan anaknya men­­jadi calon DUN Rengit.

Menurutnya, Mohd. Puad memaklumkan akan mengumumkan pengunduran diri daripada UMNO sekiranya nama anaknya tidak dipertimbangkan.

“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon DUN Rengit,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×