PASIR PUTEH: Seorang pemandu ambulans bersama ibunya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan tiga ekor lembu curi di kawasan sebuah rumah di Kampung Kandis Telong, Bachok dekat sini, Januari lalu.
Abdul Azizi Syakir Nor Azhar, 23, dan ibunya, Siti Wan Safiah Siti Wan Safiah Afizah Mohammed, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dua beranak itu didakwa dengan niat bersama menyimpan harta curi iaitu tiga ekor lembu milik Murkhan Jasin, 53, yang dilaporkan hilang di Pasir Puteh apabila kedua-dua tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa haiwan tersebut adalah harta curi.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan sebuah rumah di Kampung Kandis Telong, Bachok kira-kira pukul 3 pagi pada 17 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Razali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hafilah Hamzah.
Terdahulu, Nur Afiqah mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum Hafilah merayu jumlah tersebut dikurangkan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Abdul Aziz Syakir turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tujuh lagi pertuduhan mencuri tujuh ekor lembu milik tujuh mangsa yang berbeza di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM28,000 untuk ketujuh-tujuh pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN










