Pemanah cilik SK Banggu harumkan nama sekolah

Pemanah cilik SK Banggu harumkan nama sekolah

MUHAMAD iqbal Mohd Ibrahim (kanan) bersama rakan sepasukan ketika menerima sijil dan pingat kemenangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu berjaya mengharumkan nama sekolah apabila meraih kejayaan membanggakan dalam dua kejohanan memanah yang disertainya baru-baru ini.

Murid tahun lima, Muhammad Iqbal Mohd. Ibrahim, mencatatkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Kelantan (MSSK) yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh.

Dalam kejohanan tersebut, dia berjaya membantu pasukan meraih gelaran johan Acara Berkumpulan sekali gus membawa pulang pingat emas bagi kategori Recurve Cilik Terbuka Bawah 12 Tahun (B12).

Menurut Guru Besar SK Banggu, Noor Azniah @ Noni Mat Nor, kejayaan Muhammad Iqbal membuktikan bahawa murid sekolah luar bandar juga mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan apabila diberikan peluang serta bimbingan yang sewajarnya.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian Muhammad Iqbal. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah menjadi inspirasi kepada murid lain untuk terus berusaha dalam bidang yang diminati. Saya berharap dia terus berlatih dengan bersungguh-sungguh ,” katanya.

Selain itu, Iqbal turut menduduki tempat keempat dalam acara penyingkiran individu serta tempat keempat bagi acara jarak 40 meter. Kecemerlangan murid berusia 11 tahun itu diteruskan apabila dia menyertai USM-Singora 3D Field Archery Tournament yang diadakan di Padang Golf Universiti Sains Malaysia, “ ujarnya.

Kejayaan tersebut membuktikan bakat dan potensi besar yang dimiliki Iqbal dalam sukan memanah walaupun masih berada di bangku sekolah rendah.

Menurut pihak sekolah, pencapaian itu adalah hasil usaha gigih, disiplin yang tinggi serta komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang menjalani latihan.
“Kejayaan ini turut didorong oleh sokongan padu daripada guru, jurulatih dan ibu bapa yang sentiasa memberikan galakan kepada Iqbal untuk terus cemerlang dalam bidang sukan," menurut kenyataan pihak sekolah, “ ujarnya.

Warga SK Banggu turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut dan berharap kejayaan yang diraih dapat menjadi pembakar semangat kepada murid lain untuk aktif dalam bidang kokurikulum.

Pihak sekolah juga berharap Iqbal akan terus melakar kecemerlangan pada peringkat yang lebih tinggi sekali gus mengharumkan nama sekolah, daerah dan negeri pada masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN