Pelaksanaan BUDI Diesel tidak jejas sasaran defisit fiskal 3.5% tahun ini - Utusan Malaysia

Pelaksanaan BUDI Diesel tidak jejas sasaran defisit fiskal 3.5% tahun ini

LIEW Chin Tong pada Persidangan Fokus Cukai Pertengahan Tahun ACCA 2026 di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan BUDI Diesel bermula 1 Julai ini tidak menjejaskan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kerana tidak melibatkan perluasan subsidi tambahan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi diesel di bawah rangka kerja BUDI Diesel dijangka mengurangkan ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh warga asing.

Katanya, kerajaan tidak memperluaskan program subsidi diesel, sebaliknya menyusun semula pemberian subsidi di bawah kerangka yang lebih bersasar dan berasaskan teknologi.

“Tiada perluasan program subsidi. Pada asasnya, kita kini meletakkan segala-galanya termasuk diesel di bawah rangka kerja BUDI.

“Sebelum ini pada 2024, pengguna diesel menerima subsidi tunai RM200 dan kemudian ditambah RM200 lagi. Kini kita tidak lagi memberikan subsidi tunai, sebaliknya semuanya diletakkan di bawah kerangka BUDI,” katanya pemberita ketika ditemui pada Persidangan Fokus Cukai Pertengahan Tahun ACCA 2026 di sini semalam.

Kementerian Kewangan sebelum ini menyatakan seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel di semua stesen minyak di Malaysia.

Di samping itu, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut diperluas ke Sabah dan Sarawak untuk membolehkan sekitar 70,000 kenderaan komersial yang layak terutamanya kenderaan pengangkutan barangan pengguna untuk menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter melalui penggunaan fleet card syarikat minyak.

Di bawah mekanisme ini, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan.

Had kelayakan ini boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan sebenar penerima bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.

Pendekatan ini memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka, tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan ialah diesel atau RON95.

Menurut Chin Tong, sistem tersebut membolehkan kerajaan memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati subsidi, manakala aktiviti penyeludupan serta penggunaan bahan api bersubsidi oleh warga asing dapat dibendung.

“Ini akan mengurangkan beban kerajaan kerana kita menghapuskan penyeludupan dan penggunaan petrol serta diesel bersubsidi oleh warga asing.

“Langkah itu secara langsung membantu mengawal perbelanjaan subsidi kerajaan dan mengurangkan ketirisan yang sebelum ini membebankan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan isu peningkatan perbelanjaan subsidi yang boleh menjejaskan sasaran defisit fiskal tidak timbul.

“Pemilik kenderaan pikap yang memerlukan kuota diesel tambahan boleh membuat permohonan menerusi portal BUDI untuk mendapatkan tambahan sehingga 100 liter diesel,” katanya.

Tambahnya, penggunaan teknologi yang telah dibuktikan melalui pelaksanaan BUDI membolehkan kerajaan memastikan subsidi disalurkan kepada penerima yang layak tanpa meningkatkan perbelanjaan keseluruhan subsidi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN