KUALA LUMPUR: Pelakon dan pensyarah, Vanidah Imran mengakui graduan jurusan teater berdepan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap dalam bidang tersebut berikutan peluang yang terhad, selain tidak banyak rumah produksi menganjurkan pementasan atau latihan secara konsisten setiap bulan.
Bagaimanapun, Vanidah, 53, berkata, bidang teater sebenarnya menawarkan skop pembelajaran yang lebih luas dan memberi pelbagai kelebihan kepada pelajar, justeru mereka tidak seharusnya berasa rendah diri, walau ada yang mengikuti jurusan itu sebagai pilihan terakhir.
“Saya pernah mengajar selama tujuh tahun di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), jadi saya faham apa yang mereka rasa. Ramai memohon jurusan ini kerana tidak berjaya mendapat kursus pilihan.
“Mereka datang dengan anggapan, ‘tak apa, asalkan dapat masuk universiti’. Tetapi saya selalu beritahu mereka supaya berbangga kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang ini, sedangkan belum tentu orang lain mampu melakukannya.
“Apabila belajar filem, lakonan, teater atau tari, apa yang anda peroleh ialah disiplin diri, kebolehan bekerja dalam pasukan dan keupayaan menerima arahan. Semua nilai ini amat diperlukan dalam apa juga bidang pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton persembahan Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors, baru-baru ini.
Vanidah yang kini mengajar di Fakulti Seni Sinematik (FCA), Multimedia University (MMU), Cyberjaya berkata, ramai graduan teater akhirnya berjaya membina kerjaya dalam bidang lain kerana kemahiran memahami manusia menjadi nilai tambah yang diperlukan pelbagai industri.
“Selepas tamat belajar, tidak semestinya anda perlu bekerja dalam bidang yang dipelajari. Ramai sahaja orang di luar sana belajar dalam satu bidang, tetapi bekerja dalam bidang yang berbeza. Yang penting ialah bagaimana anda menampilkan diri ketika sesi temu duga.
“Saya mengenali bekas pelajar yang kini berkhidmat di Petronas dalam bahagian Komunikasi Korporat kerana latar belakangnya dalam bidang filem membolehkannya mengendalikan urusan media dengan baik.
“Pelajar teater pula belajar tentang tingkah laku manusia, emosi dan empati. Apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan, mereka sudah memiliki kelebihan yang mungkin tidak dimiliki oleh individu yang tidak mempunyai latar belakang seni.
“Mereka juga mempunyai kemahiran berkomunikasi, penguasaan suara dan keyakinan diri. Jangan sesekali berfikir, ‘aku bukan doktor atau jurutera’. Semua kemahiran inilah yang akan membantu anda membawa diri ke mana-mana. Jangan hadkan skop pemikiran. Berfikirlah secara lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, Vanidah turut mengingatkan pelajar teater supaya sentiasa tenang dan memanfaatkan ilmu psikologi serta empati ketika menghadiri sesi temu duga.
“Segala-galanya bergantung kepada usaha dan keyakinan diri. Jika anda mahukan sesuatu, percayalah pada kemampuan sendiri dan berusahalah bersungguh-sungguh.
”Apabila menghadiri temu duga, gunakan ilmu empati yang dipelajari. Jika penemu duga kelihatan serius atau bermasam muka, cuba letakkan diri kita di tempatnya.
“Mungkin dia sudah menemu duga puluhan calon dan berasa penat. Jadi walaupun dia kelihatan begitu, kita perlu kekalkan aura positif dan jangan terikut-ikut dengan emosinya. Itulah psikologi manusia,” katanya.
Terdahulu, penyanyi, Amsyar Lee mendedahkan dia berdepan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan dalam bidang teater dan masih belum berkesempatan menyertai sebarang pementasan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah. -UTUSAN










