KUALA LUMPUR: Pasaran tenaga dijangka stabil secara berperingkat dalam suku ketiga tahun ini dan bergantung kepada perkembangan geopolitik serta kelancaran semula laluan perdagangan antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, namun ketidaktentuan harga serta bekalan tenaga dijangka terus memberi kesan kepada pasaran dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Walaupun harga minyak mentah ketika ini telah menyederhana berbanding paras 13 tertinggi sebelum ini, kesan kepada kos logistik, bekalan bahan api bertapis, input pertanian dan harga barangan akan mengambil masa untuk kembali stabil.
“Berdasarkan perkembangan antarabangsa, pasaran tenaga dijangka mula stabil secara berfasa dalam suku ketiga 2026. Keadaan ini masih tertakluk kepada kestabilan geopolitik dan kelancaran semula laluan perdagangan. Ketidaktentuan harga serta bekalan tenaga dijangka terus mempengaruhi pasaran dalam jangka masa satu hingga dua tahun lagi.
“Namun kita tidak akan menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih. Sebaliknya, pemantauan dan intervensi akan diteruskan sepanjang tempoh pemulihan ini supaya tekanan kepada rakyat, Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan industri dapat dikurangkan,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan telah melaksanakan 27 daripada 120 keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam usaha menangani kesan awal krisis berkala global susulan konflik di Asia Barat.
Katanya, baki 93 keputusan lagi yang dimuktamadkan dalam mesyuarat mingguan MTEN sejak 16 Mac lalu kini berada pada peringkat pelaksanaan.
Beliau berkata, pelaksanaan itu turut diperkukuh dengan penubuhan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) bagi memantau bekalan, harga, rantaian logistik serta keperluan intervensi segera secara berterusan.
“Ini bagi membolehkan perkembangan krisis dapat dipantau secara lebih tersusun dan telus, sekali gus mempamerkan intervensi kerajaan bukan sekadar diumumkan tetapi dilaksanakan serta dipantau secara dekat.
“Taklimat media dan hebahan kepada orang ramai juga dilaksanakan selepas mesyuarat MTEN bagi memastikan komunikasi krisis dibuat secara telus, tepat dan berterusan,” katanya. – UTUSAN










