SIK: Sepasang suami isteri nyaris maut setelah muntah dan cirit-birit teruk apabila termakan cendawan beracun yang dikutip berhampiran rumah mereka di Rancangan Tanah Pinggir, Padang Besar, Mukim Jeneri, di sini semalam.
Pasangan berusia 28 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mereka dikatakan memakan cendawan tumbuh pada tunggul kayu yang ditemukan pasangan itu ketika sedang memotong rumput.
Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Pasangan suami isteri itu dalam keadaan lemah dan tidak bermaya akibat muntah serta cirit-birit. Mereka berada di dalam bilik air dan tidak dapat bangun, manakala keadaan rumah mereka dipenuhi muntah serta sisa najis,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya berusaha membawa keluar pasangan itu ke dalam ambulans sebelum dihantar ke Hospital Sik.
“Operasi menyelamat agak sukar kerana kedua-dua mangsa mempunyai berat badan kira-kira 150 kilogram dan kami terpaksa menggunakan enam anggota penyelamat untuk mengangkat mereka ke dalam dua ambulans,” ujarnya.
Difahamkan mangsa sempat menghubungi ibu dan abang iparnya untuk bertanyakan sama ada cendawan itu boleh dimakan. – UTUSAN










