PETALING JAYA: Pas mempunyai tiga pilihan utama yang boleh dipertimbangkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan realiti politik semasa.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, pilihan pertama adalah parti itu bergerak secara solo seperti yang pernah dicadangkan Mursyidul Am Pas pada awal tahun ini.
Beliau berkata, pilihan itu dilihat sebagai jalan keluar daripada kemelut yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) dan turut mendapat sokongan beberapa pemimpin Pemuda Pas.
Katanya, pilihan kedua adalah menjalin semula kerjasama dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) menerusi naratif Muafakat Nasional (MN) 2.0 sebagaimana pernah dibangkitkan oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Pilihan ini juga boleh dilaksanakan dan berpotensi dicapai, lebih-lebih lagi apabila terdapat laporan mengenai beberapa siri pertemuan yang diadakan kebelakangan ini.
“Pilihan ketiga pula adalah menangguhkan pelaksanaan keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga PRN Johor selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd. Zuhdi, pilihan ketiga itu memerlukan usaha perdamaian sementara antara Pas dan Bersatu di bawah payung PN bagi menghadapi pilihan raya negeri tersebut.
Beliau berkata, cadangan berkenaan turut selari dengan pandangan beberapa pemerhati politik yang melihat kerjasama Pas dan Bersatu masih mempunyai potensi untuk memperkukuh kedudukan PN dalam landskap politik negara.
Katanya, Pas perlu membuat keputusan berdasarkan realiti politik semasa dan tidak boleh mengabaikan keadaan sebenar di lapangan ketika PRN Johor semakin hampir.
“Ketiga-tiga pilihan ini adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dan berpotensi dicapai.
“Pas perlu menilai segala pilihan yang ada berdasarkan keadaan semasa dan kepentingan parti serta rakyat,” katanya. – UTUSAN










