TANJUNG MALIM: Kemunculan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penubuhan kedua-dua parti tersebut merupakan hak masing-masing dalam sistem demokrasi yang diterapkan negara.
“Cuma kita perlu tahu bahawa matlamat dan tujuannya. Sebagai contoh, ada yang mengatakan bahawa kalau parti ini ditubuhkan ia akan mengurangkan pengaruh sesuatu kaum ataupun akan menimbulkan lagi perpecahan.
“Namun yang paling mustahak di peringkat Barisan Nasional, tumpuan kepada kawasan-kawasan yang nak kita tandingi dan InsyaAllah kita tidak melihat ada kesan-kesannya kerana kita tahu Parti Bersama ditubuhkan tumpuan dia ke mana.
“Parti Wawasan pun baru ditubuhkan, tentunya sedang memikirkan apa langkah-langkahnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Peluncuran Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PKLN) 3.0 Peringkat Universiti Awam dan Peluncuran Buku Nahas Gerik: UPSI Berduka Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Katanya, BN telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi kedua-dua PRN tersebut.
“Kita telah pun membuat persiapan. Perhubungan UMNO dan juga Barisan Nasional Negeri Johor telah pun membuat persiapan itu.
“Saya yakin bahawa ia tidak memberi kesan kepada BN kerana berdasarkan kepada tumpuan yang telah diberikan kepada gerak kerja yang telah pun diatur,” katanya. – UTUSAN










