KUALA LUMPUR: Selangor dan Kuala Lumpur terus menjadi kawasan paling teruk terjejas akibat jenayah penipuan dalam talian apabila merekodkan kerugian keseluruhan RM1.77 bilion sepanjang tahun lalu.
Perkembangan itu sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai negeri dan wilayah dengan jumlah kerugian tertinggi bagi tiga tahun berturut-turut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerugian di Selangor meningkat lebih dua kali ganda daripada RM446.16 juta pada 2024 kepada RM986.79 juta pada 2025, manakala Kuala Lumpur merekodkan kenaikan daripada RM293.30 juta kepada RM782.86 juta dalam tempoh sama.
Katanya, beberapa negeri lain yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi seperti Johor, Pulau Pinang dan Perak turut mencatatkan peningkatan ketara dalam nilai kerugian akibat penipuan dalam talian antara 2024 dan 2025.
“Sabah dan Sarawak juga menunjukkan trend peningkatan dengan nilai kerugian masing-masing melebihi RM110 juta pada tahun lalu.
“Perlis pula kekal sebagai negeri yang mencatatkan kerugian paling rendah iaitu RM6.73 juta pada 2024, meningkat kepada RM11.12 juta pada 2025 dan RM2.01 juta sehingga Mei 2026,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan trend kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian mengikut kategori kes dan negeri bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini, selain kadar kejayaan pemulihan wang mangsa serta langkah meningkatkan keberkesanan pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana.
Menurut Saifuddin, kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di peringkat nasional menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila melonjak daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, jumlah kerugian yang direkodkan telah mencecah RM830 juta.
Dari segi modus operandi, kategori Pelaburan Tidak Wujud kekal menjadi penyumbang terbesar kerugian dengan RM848.62 juta pada 2024 sebelum meningkat kepada RM1.46 bilion pada 2025 dan RM361.63 juta sehingga Mei tahun ini.
“Jenayah Telekomunikasi pula mencatatkan kerugian RM497.12 juta pada 2024, meningkat kepada RM802.47 juta pada 2025 dan RM235.63 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
“Sementara itu, kategori Love Scam kekal merekodkan kerugian paling rendah dengan RM45.87 juta pada 2024, RM47.44 juta pada 2025 dan RM17.76 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan terus memperkukuh operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menerima laporan penipuan dalam talian serta melaksanakan tindakan segera membekukan akaun dan menyekat transaksi mencurigakan.
Sejak ditubuhkan pada 2022, NSRC berjaya menyita RM32.49 juta dana berkaitan penipuan, dengan RM10.9 juta daripadanya dipulangkan kepada mangsa melalui proses perundangan.
Jelasnya, bagi tempoh 2022 hingga 2025, sebanyak RM25.2 juta dana telah disita dan RM7.3 juta atau 29 peratus berjaya dipulangkan kepada mangsa.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak RM7.25 juta dana telah disita dengan RM3.57 juta atau 49 peratus daripadanya berjaya dipulangkan semula kepada mangsa.
“Peningkatan kadar pemulangan dana ini membuktikan fungsi NSRC sebagai pusat respons scam nasional semakin efektif dan semakin dipercayai rakyat,” katanya. – UTUSAN










