PARLIMEN: RUU Pengangkutan Jalan perketat hukuman lumba haram, kesalahan trafik - Utusan Malaysia

PARLIMEN: RUU Pengangkutan Jalan perketat hukuman lumba haram, kesalahan trafik

ANTHONY Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang memperkukuh kuasa pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selepas sesi soal jawab lisan.

Bacaan kali kedua diikuti sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dijangka berlangsung pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Berdasarkan draf pindaan yang dikongsikan, RUU itu melibatkan 41 pindaan terhadap seksyen serta peruntukan sedia ada di bawah Akta 333.

Antara pindaan yang dicadangkan ialah Fasal 11, bertujuan meminda Seksyen 26 Akta 333 bagi memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang memandu kenderaan motor perlu memiliki lesen memandu yang sah, termasuk individu yang diambil bekerja atau dibenarkan untuk memandu kenderaan berkenaan.

Fasal itu turut mencadangkan kenaikan denda minimum kerana gagal memiliki lesen memandu yang sah daripada tidak kurang RM300 kepada tidak kurang RM500.

Selain itu, Fasal 13 bertujuan meminda Seksyen 32 Akta 333 dengan menaikkan penalti berkaitan penggantungan lesen memandu apabila hilang kelayakan daripada hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 kepada hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda antara RM3,000 hingga RM10,000.

Fasal 14 pula mencadangkan pindaan kepada Seksyen 40 Akta 333 bagi menaikkan denda minimum bagi kesalahan memandu melebihi had laju daripada tidak kurang RM300 kepada tidak kurang RM500.

Sementara itu, Fasal 15 bertujuan memasukkan Seksyen 42A baharu ke dalam Akta 333 bagi memperuntukkan kesalahan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai satu kesalahan.

Fasal 25 dan Fasal 26 pula bertujuan meminda Seksyen 76A dan Seksyen 79 Akta 333 dengan menaikkan denda minimum bagi kesalahan membelok ke kiri secara tidak dibenarkan serta mengingkari arahan dan isyarat lalu lintas, masing-masing daripada tidak kurang RM300 kepada tidak kurang RM500.

RUU berkenaan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan.

Selain itu, RUU berkenaan turut mencadangkan peningkatan kadar denda bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Fasal 6 menaikkan denda minimum bagi kesalahan gagal mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan daripada RM300 kepada RM500.

Fasal 7 pula meningkatkan denda minimum bagi kesalahan memandu tanpa lesen kenderaan motor yang sah daripada RM300 kepada RM500.

Fasal 34 pula meminda Seksyen 119(2) bagi menyemak semula hukuman bagi kesalahan am dengan meningkatkan kadar denda minimum dan maksimum serta tempoh pemenjaraan bagi pesalah berulang.

Pindaan itu menggantikan kerangka hukuman sedia ada yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara sehingga 12 bulan bagi kesalahan berulang.

Di bawah pindaan yang dicadangkan, pesalah kali pertama boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 18 Jun lalu, Anthony Loke dilaporkan berkata, satu lagi pindaan terhadap akta itu akan dibentangkan pada persidangan terakhir Parlimen pada Oktober ini bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk, pemandu didapati positif dadah atau mereka yang didapati memandu secara melulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN