KUALA LUMPUR: Parlimen bakal memainkan peranan dalam proses pelantikan jawatan utama tertentu dalam negara menerusi mekanisme baharu yang dicadangkan dalam pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mekanisme tersebut akan membolehkan pelantikan jawatan tertentu disahkan atau dinilai oleh Parlimen sekali gus memperkukuh peranan institusi itu dalam sistem semak dan imbang negara.
“Sebelum ini, apabila kita bercakap tentang pengasingan kuasa, pelantikan dibuat oleh pihak Eksekutif dan dari sudut Parlimen, kita hanya boleh membangkitkan serta mempersoalkan proses pelantikan tersebut tanpa boleh terlibat dalam menentukan nama calon.
“Pindaan Perlembagaan ini membolehkan Parlimen mengambil bahagian dalam proses tersebut. Parlimen juga akan dapat menilai nama-nama yang dikemukakan sama ada di Dewan Rakyat atau menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas dan ia merupakan satu langkah yang baik,” katanya dalam sidang akhbar Pembentangan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Pusat Media Parlimen hari ini.
Azalina berkata, pelaksanaan mekanisme itu memerlukan pindaan Perlembagaan yang perlu melalui beberapa peringkat termasuk memperoleh sokongan majoriti mudah sebelum mendapatkan majoriti dua pertiga pada bacaan ketiga.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini masih mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang bagi mendapatkan sokongan diperlukan memandangkan pindaan Perlembagaan tidak boleh diluluskan tanpa majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
Katanya, cadangan tersebut merupakan hasil penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas yang turut melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang dalam usaha mencari titik persetujuan berhubung reformasi institusi berkenaan.
“Kita sedang menyediakan satu laluan baharu untuk negara iaitu memastikan Parlimen turut terlibat dalam pelantikan-pelantikan penting. Sebab itu Ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak telah berbahas selama berbulan-bulan mengenai keperluan penglibatan Parlimen dalam proses tersebut.
“Jika inilah yang kami tawarkan, saya berharap Ahli Parlimen di kedua-dua belah pihak akan menerimanya sebagai satu perubahan dan reformasi yang sebenar untuk negara. Jika kita terlepas peluang ini, mungkin tiada lagi peluang seperti ini pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










