PARLIMEN: Pindaan Akta 792 perluas kuasa luar wilayah

PARLIMEN: Pindaan Akta 792 perluas kuasa luar wilayah

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan pindaan terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi memperluaskan bidang kuasa undang-undang negara terhadap kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilakukan di luar Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu selaras dengan usaha memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada jenayah seksual rentas sempadan, selain memastikan akta itu kekal relevan susulan perubahan landskap jenayah seksual.

Beliau berkata, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 menyediakan suatu kerangka perundangan yang kukuh bagi menangani pelbagai bentuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Walau bagaimanapun, pengalaman pelaksanaannya menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk memperkukuh peruntukan berkaitan pemakaian luar wilayah atau ‘extra-territorial jurisdiction’.

“Pada masa ini, Seksyen 3 Akta 792 memperuntukkan bahawa kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia boleh diambil tindakan seolah-olah dilakukan di Malaysia jika pelaku adalah seorang warganegara Malaysia.

“Namun, perkembangan semasa menunjukkan bahawa skop itu perlu diperluaskan. Persoalannya, adakah perlindungan undang-undang Malaysia harus terhenti hanya kerana kesalahan dilakukan di luar negara atau pelaku berada di luar bidang kuasa Malaysia? Kerajaan berpendapat bahawa jawapannya mestilah tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, RUU berkenaan mencadangkan pindaan kepada Seksyen 3 Akta 792 bagi memperluaskan bidang kuasa luar wilayah.

Beliau berkata pindaan yang dicadangkan akan memastikan bahawa akta itu bukan sahaja terpakai kepada warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan di luar negara, malah turut meliputi pemastautin tetap Malaysia serta individu yang lazim bermastautin di Malaysia.

Katanya, pada masa yang sama, perlindungan turut diperluaskan kepada kanak-kanak yang merupakan warganegara Malaysia, pemastautin tetap Malaysia atau yang lazim bermastautin di Malaysia.

“Pendekatan ini akan memastikan perlindungan undang-undang yang lebih menyeluruh serta selaras dengan sifat jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin merentas sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN