PARLIMEN: Penderaan seksual kanak-kanak meningkat, semakin kompleks

PARLIMEN: Penderaan seksual kanak-kanak meningkat, semakin kompleks

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16,238 laporan Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) membabitkan kanak-kanak Malaysia direkodkan pada tahun 2024, meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan data Internet Watch Foundation (IWF) yang dilaporkan pada 2025, trend peningkatan itu terus berlaku apabila sebanyak 12,656 laporan direkodkan hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun berkenaan.

“Berdasarkan data Internet Watch Foundation yang dilaporkan pada 2025, sebanyak 16,238 laporan Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) membabitkan kanak-kanak Malaysia direkodkan pada 2024, meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh enam bulan pertama 2025 sahaja, sebanyak 12,656 laporan direkodkan.

“Angka-angka ini menunjukkan bahawa ancaman terhadap kanak-kanak bukan lagi terbatas kepada ruang fizikal, malah semakin berkembang dalam persekitaran digital serta merentas sempadan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azalina, jenayah seksual terhadap kanak-kanak kini menjadi semakin kompleks berikutan penggunaan platform tertutup, teknologi penyulitan, identiti palsu serta operasi rentas negara yang menyukarkan usaha pengesanan dan pendakwaan.

Kata beliau, pindaan terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) mencerminkan pendirian tegas kerajaan dalam memerangi sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

“Pindaan ini menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

“Anak-anak tidak memilih untuk menjadi mangsa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka sentiasa dilindungi melalui undang-undang yang tegas, moden dan berkesan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN