PARLIMEN: KPT perkukuh kerjasama universiti-industri

PARLIMEN: KPT perkukuh kerjasama universiti-industri

ZAMBRY Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh kerjasama antara universiti awam dan industri bagi meningkatkan kadar pengkomersialan hasil penyelidikan negara yang masih berdepan cabaran dalam ekosistem inovasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan kini memberi penekanan kepada penyelidikan berasaskan impak bagi memastikan setiap hasil kajian mampu diterjemahkan kepada nilai ekonomi serta memberi manfaat langsung kepada industri.

Katanya, pendekatan itu berbeza dengan kaedah terdahulu yang kebanyakannya lebih bersifat berasaskan penerbitan semata-mata.

“Namun kini, kita memberi tumpuan kepada penyelidikan berasaskan impak iaitu bagaimana output penyelidikan dapat dimanfaatkan secara langsung. 

“Pendekatan inilah yang telah diubah termasuk dari segi mewujudkan ekosistem yang lebih baik dalam hubungan antara industri dan universiti,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung strategi kementerian dalam memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Zambry berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pihaknya telah melaksanakan pelan strategik dengan menumpukan kepada penyelidikan yang mampu menyelesaikan cabaran industri dan masyarakat serta tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada output akademik.

Katanya, semua IPTA khususnya lima universiti penyelidikan terus diperkasakan untuk menerajui penyelidikan bertaraf global dalam bidang kritikal seperti keterjaminan makanan, teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan termaju.

“Langkah itu menyaksikan lebih 200 produk hasil penyelidikan universiti awam berjaya dikomersialkan manakala 286 teknologi dan pengetahuan dilesenkan kepada pihak industri dalam tempoh 2022 hingga 2024,” katanya.

Beliau berkata, keberkesanan keseluruhan strategi termasuk pembiayaan dalam bidang R&D dan inovasi di setiap universiti awam turut dinilai menerusi Pentaksiran Penyelidikan Malaysia.

“Inisiatif tersebut merangkumi program kolaborasi Makmal Malaysia untuk Kerjasama Akademia-Perniagaan (MyLAB), Program Geran Padanan Industri dan Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN).

“Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan selain memastikan penyelidikan yang dijalankan memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT akan menganjurkan Sidang Kemuncak Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan Universiti pada September ini bagi menghimpunkan industri dan pelabur untuk memperluas potensi penyelidikan yang boleh dilaburkan.

Menurutnya, usaha itu dijangka memacu pembangunan inovasi barisan hadapan sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi dan inovasi di Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN