PETALING JAYA: Pelakon, Mimi Lana menitipkan nasihat kepada kaum wanita supaya belajar mencari kebahagiaan sendiri tanpa bergantung harap dengan orang lain, terutamanya kaum lelaki.
Menurut Mimi, setiap wanita juga perlu mengutamakan diri sendiri dalam segala perihal memandangkan tidak semua individu gemar meraikan kejayaan orang lain.
“Para wanita, carilah duit sendiri. Pilihlah jalan hidup sendiri. Bekerja keras. Kerapkan bercuti. Jaga kesihatan. Sayangi ibu bapa. Beli beg tangan. Tempah penerbangan.
“Cuba perkara yang menakutkan kamu. Jangan tangguhkan kehidupanmu semata-mata menunggu lelaki yang tepat.
“Orang akan pergi. Hubungan akan berakhir. Kawan-kawan akan berubah. Bukan semua orang akan gembira apabila kamu berjaya,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, pelakon filem Polong itu berpendapat wanita yang memiliki kestabilan hidup tidak akan goyah meskipun berdepan dengan sebarang konflik kehidupan.
“Jadi, bina kehidupan yang tidak akan runtuh hanya kerana seseorang memilih untuk pergi. Buat diri sendiri bangga. Buat diri sendiri bahagia. Bebaskan diri sendiri.
“Pada akhirnya, diri kamu ialah satu-satunya insan yang akan bersama kamu setiap saat sepanjang hidup ini. Jadi, laburlah untuk diri sendiri,” ujarnya. -UTUSAN










