PUTRAJAYA: Sebanyak 1,638 syarikat di seluruh negara kini dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pembongkaran kes pemalsuan tuntutan insentif Baharu Daya Kerjaya 2.0 (Skim Sokongan Pekerjaan).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, Ops Daya yang bermula pada 9 Jun lalu masih berjalan dan dijangka diperluaskan berdasarkan maklumat risikan serta siasatan yang sedang berlangsung.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya memberi tumpuan kepada 143 syarikat yang dikenal pasti pada fasa awal siasatan, membabitkan tuntutan dianggarkan bernilai kira-kira RM9 juta.
“Ketika ini, jumlah kerugian yang masih dalam siasatan dianggarkan sekitar RM5 juta selepas beberapa tindakan pemulihan dilakukan.
“Ops Daya ini adalah proses yang sedang berjalan. Setakat hari ini, 97 tangkapan telah dilakukan dan operasi akan diteruskan sehingga siasatan selesai.
“Dalam unjuran awal, kita menumpukan kepada 143 syarikat. Namun berdasarkan risikan dan siasatan yang sedang serta akan dilakukan, terdapat 1,638 syarikat yang mempunyai kaitan dengan perkara ini, membabitkan tuntutan palsu dianggarkan berjumlah RM45 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, selepas siasatan terhadap 143 syarikat terbabit dimuktamadkan, SPRM akan memperluaskan fokus kepada syarikat lain yang turut disyaki mengemukakan tuntutan palsu.
Ditanya mengenai tempoh siasatan dan kemungkinan pertuduhan dibuat, Abdul Halim menegaskan SPRM tidak menetapkan had masa tertentu kerana mahu memastikan setiap aspek siasatan dilengkapkan secara menyeluruh.
“Kita tidak perlu terburu-buru dan tidak mengejar masa. Kelajuan menyiapkan siasatan bergantung kepada tahap kerjasama yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di peringkat ibu pejabat dan negeri.
“Setakat ini, kerjasama yang diberikan amat baik. Apabila siasatan dilengkapkan, kita akan memulakan proses pendakwaan terhadap pihak yang terbabit,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jenis syarikat yang sedang disiasat, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut kerana siasatan masih di peringkat awal.
“Saya tidak boleh mendedahkan apa-apa lagi pada peringkat ini. Perincian lanjut hanya akan diumumkan apabila siasatan memasuki fasa yang lebih maju,” katanya.
Ops Daya dijalankan susulan berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan skim berkenaan apabila beberapa syarikat dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dengan mengisytiharkan pekerja yang sebenarnya tidak pernah bekerja dengan mereka bagi mendapatkan insentif penggajian kerajaan.
Antara modus operandi yang dikesan ialah penggunaan data individu tanpa pengetahuan mereka untuk tujuan tuntutan insentif, pemberian saguhati sekali bayar kepada individu yang didaftarkan sebagai pekerja, selain penyalahgunaan maklumat orang kurang upaya (OKU) bagi membolehkan pembayaran dibuat kepada pihak lain.
Siasatan turut mendapati terdapat akauntan syarikat dan ejen yang menguruskan permohonan bagi pihak syarikat dengan pengetahuan pemilik, namun sebahagian pemilik hanya menerima komisen tanpa mengenali individu yang didaftarkan sebagai pekerja.
Selain itu, SPRM mengenal pasti beberapa kelemahan tadbir urus, termasuk ketiadaan pemantauan terhadap syarat minimum bekerja selama 12 bulan, tiada semakan status pekerjaan sebelum pembayaran insentif bulan berikutnya dibuat, serta berlakunya pertindihan kuasa apabila pegawai yang sama menyemak dan meluluskan permohonan.
Setakat ini, SPRM telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, menahan 97 individu membabitkan 86 pemilik syarikat dan 11 ejen, selain merakam percakapan 577 individu. Daripada jumlah itu, 77 individu telah direman bagi membantu siasatan.
SPRM juga membekukan 36 akaun bank syarikat berjumlah RM462,076.92 serta menyita pelbagai harta alih termasuk emas dan wang tunai bernilai RM74,198. – UTUSAN










