SEREMBAN: Kenderaan utiliti sukan (SUV) model Porsche Cayenne dan Mercedes Benz GLC 250 antara 145 buah kenderaan mewah yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam Operasi Luxury yang dilaksanakan Januari lalu hingga bulan ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, tindakan itu diambil berikutan kesalahan berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu serta kesalahan teknikal yang lain.
Katanya, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 870 kenderaan yang diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasa JPJ negeri sepanjang tempoh tersebut.
“JPJ Negeri Sembilan telah melaksanakan Operasi Luxury bermula bulan Januari lalu di beberapa lokasi strategik di negeri ini yang merupakan tindakan penguatkuasaan bersasar, berfokus dan akan diteruskan secara berterusan.
“Operasi ini memberi tumpuan khusus terhadap lesen kenderaan motor, perlindungan insurans dan lesen memandu yang tidak sah atau tamat tempoh serta pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ selain sebarang pelanggaran peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.
Jasyindar Singh memberitahu, sepanjang operasi tersebut, sebanyak tujuh kenderaan mewah telah disita yang melibatkan bukan warga negara terutamanya dari China, Pakistan, Bangladesh dan seorang pemegang kad UNCHR.
“Kami ingin menegaskan bahawa setiap kesalahan yang dikesan akan diambil tindakan tanpa sebarang kompromi termasuk sitaan kenderaan dan pendakwaan di mahkamah.
“JPJ Negeri Sembilan memberi peringatan kepada semua pemilik kenderaan mewah dan pengiat automotif bahawa `nilai atau status kenderaan’ tidak memberi sebarang kekebalan daripada tindakan undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN










