GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri yang masing-masing berusia 35 dan 37 tahun antara 164 individu yang ditahan dalam Op Cegah Khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang berlangsung selama tiga hari di sini, bermula Selasa lalu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias berkata, pasangan tersebut ditahan dalam satu serbuan di Air Itam di sini, sebelum kedua-duanya disahkan positif dadah jenis morfin dan methamphetamine hasil satu ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Pasangan itu bekerja sendiri, tetapi, apa yang paling menyedihkan ialah, ketika ditahan, kedua-dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga tahun dan lapan bulan ada bersama mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.
Mahadzir berkata, seramai 88 pegawai dan anggota AADK terlibat dalam operasi itu dan daripada 164 individu yang ditahan, seramai 149 orang didapati positif dadah manakala sembilan lagi dikesan melanggar syarat Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
“Golongan lelaki mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 155 orang atau 94.5 peratus berbanding sembilan wanita, dengan kesemua mereka berusia antara 19 hingga 65 tahun,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan analisis jenis dadah yang digunakan pula, methamphetamine mencatatkan jumlah penyalahgunaan tertinggi iaitu 100 kes atau 61 peratus daripada keseluruhan tangkapan, diikuti opiat sebanyak 35 kes dan ganja sebanyak 18 kes.
Mahadzir berkata, dalam operasi yang sama juga, AADK turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Bukit Mertajam yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu kemudian menemukan kira-kira 40.40 gram heroin dan 19.79 gram syabu yang dipercayai untuk tujuan pengedaran. Suspek telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 689 individu telah tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan berkaitan penyalahgunaan dadah menerusi program AADK sepanjang tahun ini iaitu sehingga 31 Mei lalu.
Selain itu katanya, seramai 14,518 penagih serta penyalahguna dadah turut ditahan di seluruh negara bagi tempoh yang sama dan jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 30.43 peratus daripada sasaran 47,000 individu yang ditetapkan bagi tahun ini.
“Untuk pengetahuan, operasi yang kita jalankan ini bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya untuk membantu mereka keluar daripada kancah penagihan dan kembali berfungsi dalam masyarakat,” katanya.-UTUSAN







