Olivia Rodrigo anjur festival dibarisi pemuzik wanita - Utusan Malaysia

Olivia Rodrigo anjur festival dibarisi pemuzik wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penyanyi antarabangsa, Olivia Rodrigo, mengumumkan penganjuran festival muzik terbaharu, Daisy Chain Fields,  yang menghimpunkan barisan pemuzik wanita.

Jelas Olivia, festival itu mempunyai misi besar sebagai usaha menyokong dan memperkasa hak golongan kanak-kanak.

“Saya amat teruja untuk meraikan barisan artis wanita yang luar biasa ini dan berterima kasih kepada semua rakan kerjasama yang membantu merealisasikan festival ini.

“Dengan menghimpunkan wanita dalam industri muzik bersama organisasi yang berusaha membentuk masa depan lebih baik untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

“Saya berharap kita dapat membina komuniti yang menyemarakkan harapan serta perubahan positif,” katanya kepada media tempatan.

Antara barisan artis yang membuat persembahan ialah Bikini Kill, Chappell Roan, Die Spitz, Doechii, Eli, Garbage, KATSEYE, Mitski, Not For Radio, Quiet Light, Rachel Chinouriri, Santigold dan The Breeders di dua pentas utama.

Festival itu turut menampilkan kemunculan khas Karen O, Sarah McLachlan dan Stevie Nicks.

Tambah Olivia, Daisy Chain Fields diasaskan atas kepercayaan bahawa kegembiraan, semangat komuniti dan kreativiti mampu menjadi pemangkin kepada perubahan yang bermakna.

Selain persembahan muzik, festival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti melibatkan pendidikan, pengalaman seni komuniti, gerai peniaga tempatan, ruang interaksi peminat dan pameran seni imersif yang direka untuk menggalakkan penglibatan dan hubungan lebih erat antara pengunjung.

Para hadirin juga berpeluang mendapatkan maklumat serta menyokong organisasi yang aktif dalam pelbagai bidang termasuk hak reproduktif, kesihatan ibu, pemerkasaan ekonomi, pencegahan keganasan rumah tangga dan kesaksamaan gender. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN