Nurlina bawa nama Malaysia wakil Young Professional Fellowship

Nurlina Arappe bawa nama Malaysia sebagai wakil Young Professional Fellowship

NURLINA Arappe (kiri) mengikuti sesi perkongsian dan perbincangan bersama delegasi antarabangsa sempena Young Professional Fellowship (YPF) Australia 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat dalam bidang kepimpinan sejak di bangku sekolah membawa seorang wanita muda melangkah ke pentas antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia ke pentas dunia dan itu yang dicapai oleh Nurlina Arappe, 33, apabila dipilih mewakili Malaysia dalam Young Professional Fellowship (YPF), dua tahun berturut-turut masing-masing di Kanada pada Ogos tahun lalu dan di Melbourne, Australia, baru-baru ini.

 

Pencapaian itu bukan sahaja menjadi kebanggaan buat anak jati Tawau, Sabah berkenaan, malah membuktikan anak muda Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan menyumbang idea bersama delegasi dari seluruh dunia.

YPF adalah platform pembangunan kepimpinan antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin muda, profesional, usahawan, aktivis masyarakat, penyelidik dan individu berpotensi tinggi daripada pelbagai negara.

Program itu bertujuan membentuk pemimpin masa hadapan yang berfikiran global, berdaya saing dan berupaya membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Nurlina berkata, peluang terpilih menyertai program itu bagi kali kedua adalah satu penghormatan dan pengiktirafan besar terhadap perjalanan kepimpinan yang dibinanya.

 

 

 

 

Katanya, pemilihan sebagai delegasi bukan sesuatu yang mudah kerana setiap calon perlu melalui proses penilaian kompetitif berdasarkan potensi kepimpinan, pencapaian profesional dan komitmen terhadap pembangunan masyarakat.

“Sebagai rakyat Malaysia, pengalaman ini memberikan rasa bangga yang sukar digambarkan.

“Sepanjang program berlangsung, saya bersama peserta lain mengikuti sesi perkongsian dengan pemimpin berpengaruh, tokoh industri dan profesional yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Mereka berkongsi pengalaman, cabaran dan perjalanan kepimpinan yang menjadi sumber inspirasi kepada peserta,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Program itu turut diisi dengan bengkel, forum dan latihan yang dikendalikan fasilitator berpengalaman bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran strategik dan kerjasama rentas budaya.

Bagi Nurlina, peluang berinteraksi dan bertukar pandangan dengan peserta daripada pelbagai negara menjadi antara pengalaman paling bernilai sepanjang program berkenaan.

“Semua delegasi turut diberikan ruang membentangkan inisiatif, projek dan sumbangan yang sudah dilaksanakan dalam komuniti masing-masing.

“Walaupun kami datang daripada latar belakang budaya, kerjaya dan negara yang berbeza, kami berkongsi satu persamaan, iaitu keinginan untuk terus belajar, berkembang dan memberikan impak positif kepada masyarakat.

“Setiap sesi perbincangan membuka perspektif baharu mengenai kepimpinan, inovasi dan peranan anak muda dalam membawa perubahan,” katanya.

Perjalanan Nurlina dalam bidang kepimpinan bermula seawal 2008 apabila dia menerima pengiktirafan sebagai Peserta Terbaik Perempuan dalam Nadwah Kepimpinan Islam Peringkat Kebangsaan.

Pengiktirafan itu menjadi titik permulaan kepada minat mendalamnya terhadap pembangunan diri, kepimpinan dan khidmat masyarakat.

Anak kelima daripada enam beradik itu percaya kepimpinan bukan sekadar berkaitan jawatan, sebaliknya kemampuan seseorang untuk mempengaruhi dan membawa perubahan positif kepada orang lain.
Minatnya terhadap pembangunan belia dan kesukarelawanan mendorongnya aktif menyertai pelbagai program pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Nurlina juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Sukarelawan Muda Sabah 2014 atas sumbangannya dalam aktiviti kesukarelawanan dia ketika menjadi penuntut di Univerisiti Malaysia Sabah (UMS).

Pada tahun sama, Nurlina turut menerima anugerah Peserta Wanita Terbaik menerusi Green Summer Volunteer Campaign 2014 di Vietnam.

Pembabitannya di peringkat serantau diteruskan apabila dia mewakili Malaysia dalam ASEAN Youth Interfaith Camp 2021 dan ASEAN Women Interfaith Camp 2022.

Kedua-dua program itu menghimpunkan pemimpin muda daripada negara ASEAN bagi memperkukuh persefahaman, toleransi dan kerjasama merentasi budaya dan agama.

“Saya percaya setiap pencapaian yang diraih bermula daripada keberanian untuk mencuba, kesediaan untuk belajar dan komitmen memajukan diri.

“Ia membuktikan anak muda Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan bersaing di peringkat global apabila diberikan peluang yang sewajarnya,” katanya.

Katanya lagi, semua pengalaman, ilmu dan jaringan antarabangsa yang dibina sepanjang program berkenaan akan dijadikan bekalan untuk terus melangkah dengan lebih yakin.

Pada masa sama, dia berharap perjalanannya mampu memberi inspirasi kepada anak muda supaya tidak takut bermimpi besar atau membiarkan keraguan menghalang mereka daripada mencuba.

“Kadangkala, satu permohonan, satu peluang atau satu keputusan untuk mencuba mampu mengubah perjalanan hidup seseorang.

“Impian mungkin tidak membawa kita ke destinasi yang dijangkakan, tetapi ia pasti membawa kita ke tempat yang lebih baik daripada sekarang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN