PETALING JAYA: Nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab moral perlu menjadi teras pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bukannya demi keuntungan ekonomi semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AI tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai suatu bidang khusus sebaliknya sebagai faktor merentas disiplin yang mempengaruhi ekonomi, teknologi dan setiap cabang ilmu.
Beliau berkata, dunia kini berdepan cabaran lebih besar daripada sekadar kemajuan teknologi iaitu konflik, peperangan, ketidakadilan dan penindasan yang berterusan walaupun industri AI sedang berkembang pesat.
“Kita menyokong kemajuan teknologi termasuk AI, namun jika ia masuk ke rumah, sekolah, hospital, pejabat, institusi awam bahkan minda kita, maka cabaran yang dihadapi adalah amat besar.
“Kita mesti membina sistem yang berkhidmat untuk manusia bagi memperkayakan lagi nilai kemanusiaan, bukannya merendahkannya.
“Ia bagi memastikan institusi kekal bertanggungjawab kepada rakyat serta masyarakat terus mengingati perkara yang tidak boleh diwarisi oleh mesin iaitu hati nurani, ihsan, rahmah, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin semasa melawat ke Universiti Tokyo, Jepun, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberi amaran bahawa masa depan teknologi AI kini dilihat dibentuk negara-negara tertentu dan beberapa kelompok kecil syarikat korporat.
Beliau berkata, sistem yang memacu era baharu AI memerlukan jumlah data, cip, tenaga, infrastruktur awan dan modal besar, namun sumber-sumber itu tidak diagihkan secara seimbang atau adil.
Tambahnya, ketidakseimbangan itu bukan sekadar isu teknikal, tetapi boleh menjejaskan kedaulatan, demokrasi dan kebertanggungjawaban awam.
“Golongan kapitalis, pemilik syarikat dan konglomerat mahu menentukan maksud tamadun, bagaimana peperangan, nasib sesebuah negara dan nilai strategik dirasionalisasikan, malah masa depan demokrasi.
“Namun demokrasi adalah mengenai penyertaan. Ia mengenai keadilan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Presiden Universiti Tokyo, Professor Dr. Teruo Fujii.
Esok, Anwar bakal menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertajuk ‘Navigating Strategic Uncertainty’ yang menyentuh peranan Malaysia dalam mengemudi landskap geopolitik kompleks serta meneroka peluang baharu untuk kemakmuran serantau. – UTUSAN









