KOTA TINGGI: Seorang nelayan dikejutkan dengan penemuan satu tengkorak manusia yang ditemukan tersangkut pada pukat yang dipasangnya di perairan Sedili, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan tengkorak tersebut pada pukul 8.10 malam, Ahad lalu.
“Siasatan awal mendapati tengkorak manusia itu ditemui tersangkut pada pukat ikan kira-kira pukul 3 pagi, Sabtu lalu di Perairan Sedili sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Susulan penemuan itu, seorang tekong bot tempatan berusia 44 tahun yang menemukan tengkorak tersebut telah dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Yusof memberitahu, tengkorak tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tujuan pemeriksaan sebelum disahkan milik seorang lelaki dewasa.
“Pakar menganggarkan usia mangsa adalah dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar segera tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi talian 018-2464667,” katanya. – UTUSAN










