PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Remy Ishak memaklumkan sentiasa berhati-hati dan berusaha untuk mengelakkan dirinya daripada terkena ‘buatan’ orang.
Namun kata Remy dia berlapang dada dan menganggap perkara itu kifarah dosa jika tetap berlaku kepadanya.
“Saya berhati-hati sejak dulu, tapi inilah perniagaan filem. Sedangkan makanan di restoran boleh bertukar basi, inikan industri seni yang meriah dengan kedatangan muka baharu.
“Mungkin apa yang berlaku ini disebabkan saya yang tidak menjaga tuntutan Allah S.W.T. Ia berbalik kepada diri sendiri. Kerana Allah sahajalah yang berhak mengizinkan kejadian itu berlaku ke atas saya,” katanya.
Menceritakan pengalaman disihir, pelakon filem Khadam ini memaklumkan melalui pelbagai pengalaman menyakitkan.
“Macam-macam saya kena, muntah dan pelbagai lagi. Ada satu masa saya rasa seperti semua orang jadi benci dengan saya.
“Sampai satu tahap saya jadi takut berjumpa orang dek kerana pandangan negatif orang itu terlalu menebal.
“Lama kelamaan saya memutuskan untuk mengubat diri sendiri dengan menjaga solat dan mandi ais,” katanya lagi.
Remy dalam pada itu memaklumkan dia masih berdepan gangguan terebut namun mengambil pendekatan itu tidak mengambil serius perkara tersebut.
“Kadang bila bercakap dengan orang, saya jadi hilang keyakinan, lidah menjadi kelu.
“Otak tiba-tiba tidak dapat berfikir, kabus otak semakin menjadi-jadi. Laluan itu seperti ditutup. Saya tenang-tenang sahaja,” kongsinya.










