KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 hari ini.
Pada istiadat Kejadian itu, Muhammad Faris melafazkan sembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diikuti titah ucapan Tuanku Muhriz.
Tuanku Muhriz dalam titahnya menyeru agar rakyat di Luak Sungei Ujong serta seluruh Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung agar terus bersama-sama kepimpinan adat memperkemas serta melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab adat dengan sebaik-baiknya.
“Beta turut menyeru agar rakyat Beta di Luak Sungei Ujong dan di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung untuk bersama-sama dengan kepimpinan Adat bagi memperkemas serta melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab adat dengan baik.
“Hormati dan junjunglah nilai adat yang kita warisi sejak zaman berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan Anak Buah Berbuapak, Suku Berlembago, Luak Berpenghulu, Alam Berajo.
“Di samping itu, peliharalah tali persaudaraan dan hubungan baik antara satu sama lain ibarat bercincang berlandasan, melompek bertumpuan, air dicincang tidak akan putus,” titahnya.
Semalam, media melaporkan Tuanku Muhriz berkenan mengadakan Istiadat Mengadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong pada hari ini.
Pada petang ini turut berlangsung Istiadat Menghadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan Kejadian, Hassan Ab Hamid yang berusia 67 tahun sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.-UTUSAN










