PETALING JAYA: Malaysian Press Institute (MPI) menerima sumbangan berjumlah RM1.03 juta bagi meneruskan penganjuran acara tahunan berprestij dunia kewartawanan, Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail berkata, MPI menghargai sokongan yang diberikan oleh penaja dan penyumbang yang terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan industri media dan kewartawanan negara.
Katanya, bagi menjayakan majlis MWM 2026, MPI telah menerima sumbangan berjumlah RM587,000 daripada 60 organisasi, termasuk Petronas yang kekal sebagai penyumbang utama dengan jumlah tajaan RM450,000.
“Secara kolektif, jumlah sumbangan yang diterima MPI setakat ini berjumlah RM1.037 juta. Sokongan yang diberikan bukan sekadar membantu menjayakan sebuah acara tahunan yang berprestij, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kewartawanan yang profesional, beretika dan dipercayai masyarakat.
“Kejayaan industri media bukan sahaja tanggungjawab organisasi media semata-mata. Ia perlukan sokongan seluruh ekosistem termasuk sektor swasta, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan rakan strategik yang percaya bahawa media yang kredibel merupakan antara asas penting kepada pembangunan masyarakat yang bermaklumat,” katanya.
Menurutnya lagi, sebanyak 45 wakil organisasi penyumbang telah menyerahkan replika cek sebagai simbolik sumbangan bagi menjayakan penganjuran MWM 2026.
Terdahulu, satu majlis yang menghimpunkan seramai 150 tetamu diadakan di sini sebagai penghargaan kepada semua penyumbang Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026,
Majlis dihadiri wakil organisasi korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan serta organisasi media sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan sumbangan mereka dalam menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2026 yang akan berlangsung pada 17 Julai di Hotel The Majestic Kuala Lumpur.
Majlis penghargaan itu turut diserikan dengan penganjuran Forum Pemikir; Evolusi Media dan Perubahan Industri yang memasuki tahun ketiga penganjurannya sebagai platform wacana strategik bagi membincangkan transformasi landskap media serta cabaran dan peluang dalam era digital.
Forum itu turut menampilkan wartawan veteran serta tokoh wartawan negara, Datuk A. Kadir Jasin.
Ainol berkata forum itu dianjurkan sebagai platform untuk media dan industri berkumpul, bertukar pandangan serta memahami cabaran dan peluang yang sedang membentuk masa depan komunikasi dan kewartawanan.
“Forum ini bukan sekadar membincangkan teknologi atau trend semasa. Lebih penting, ia memberi ruang kepada kita untuk memahami bagaimana organisasi media dan sektor korporat boleh bergerak seiring dalam membina naratif yang bertanggungjawab, memperkukuhkan kepercayaan awam serta menyesuaikan diri dengan perubahan landskap komunikasi yang semakin kompleks,” katanya. – UTUSAN










