KUALA LUMPUR: Aktiviti mendaki gunung dan bukit yang menjadi pilihan orang ramai khususnya pada hujung minggu kini dibayangi risiko kematian.
Berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 63 kematian direkodkan daripada 1,059 kes kemalangan melibatkan aktiviti pendakian di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Selain itu, statistik bagi tempoh sama turut merekodkan 87 kes kecederaan.
Sejak kebelakangan ini, negara digemparkan dengan berita kehilangan individu ketika melakukan aktiviti pendakian antaranya remaja, Nur Izzati Humaira Azizul yang hilang pada 23 Mei lalu dan ditemukan maut di Bukit Changkat Asa, Perak selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) .
Selain itu, seorang lagi pendaki wanita, Jaslinda Saludin ditemui selepas 14 hari dilaporkan tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian Gunung Batu Putih, Perak.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, angka tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem pengurusan risiko lebih tersusun dan piawaian keselamatan komprehensif di semua laluan pendakian.
Katanya, peningkatan minat masyarakat terhadap aktiviti mendaki sejak kebelakangan ini perlu diseimbangkan dengan tahap kesedaran keselamatan lebih tinggi dalam kalangan pendaki bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa.
“Antaranya, kerajaan sedang mempertimbangkan pembangunan sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional bagi memperkukuh pemantauan dan keselamatan aktiviti mendaki di seluruh negara.
“Cadangan tersebut berpotensi meningkatkan kecekapan pengurusan aktiviti pendakian, khususnya dalam aspek keselamatan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menyatakan jumlah kemalangan dan kematian akibat aktiviti pendakian dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini serta usaha mewujudkan piawaian keselamatan nasional bagi semua laluan pendakian.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan sokongan pembiayaan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) telah membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM).
Katanya, garis panduan tersebut berfungsi sebagai rujukan teknikal bagi mitigasi risiko dan pengurusan kapasiti laluan pendakian di seluruh negara.
Menurut beliau, JPSM mewajibkan penggunaan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian berisiko tinggi sebagai jurupandu bertauliah yang membantu aspek keselamatan, tindak balas kecemasan serta pematuhan amalan pendakian yang selamat.
“Sehingga kini, seramai 2,322 individu termasuk komuniti Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP melalui program pembangunan kemahiran tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini memberi fokus kepada penerapan standard antarabangsa Sistem Pengurusan Keselamatan Kembara Pelancongan (ATSMS) bagi memperkukuh pengurusan keselamatan di kawasan rekreasi dan konservasi.
“Piawaian ini digunakan untuk menstrukturkan mekanisme pengurusan risiko, tahap kecekapan kakitangan, prosedur tindakan kecemasan serta penyelenggaraan peralatan dan fasiliti.
“Langkah ini disokong dengan penguatkuasaan prosedur kualiti pendaftaran dan permit masuk di pejabat Taman Negara berkaitan bagi tujuan rekod keselamatan dan kawalan had tampung aktiviti,” katanya.
Tambah beliau, mekanisme mitigasi risiko itu diperkukuhkan lagi melalui saringan kesihatan awal pendaki menerusi perakuan kesihatan bagi memastikan tahap fizikal mereka bersesuaian dengan tahap kesukaran laluan yang ingin diterokai.
Selain itu, penguatkuasaan penggunaan khidmat pemandu pelancong alam semula jadi bertauliah, taklimat keselamatan mandatori, program latihan kesedaran awam (CEPA) kepada penggiat pelancongan serta penutupan sementara laluan ketika musim monsun turut dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan risiko kemalangan.-UTUSAN











