KOTA KINABALU: MCA menolak tuduhan bahawa parti itu menutup 42 buah sekolah rendah Cina sebaliknya penutupan itu ekoran berlaku perubahan demografi serta perpindahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar.
Ketua Bahagian MCA Sepanggar, Lu Yen Tung berkata, tuduhan terhadap MCA itu tidak benar kerana tiada sekolah rendah Cina yang ditutup.
“Perkara itu tidak berlaku disebabkan perubahan demografi serta perpindahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar.
“Ada sekolah yang hanya mempunyai jumlah murid sangat kecil sehingga menyebabkan sekolah berkenaan tidak lagi dapat beroperasi secara efektif,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Sepanggar.
Beliau berkata, MCA sering difitnah pihak tertentu dalam pelbagai isu berkaitan pendidikan serta dasar kerajaan yang disifatkan sebagai tidak berasaskan fakta dan boleh mengelirukan rakyat.
Katanya, sepanjang lebih 60 tahun, MCA membantu memindahkan lebih 100 sekolah di lokasi lebih sesuai dan mempunyai jumlah pelajar lebih besar.
“Di Sabah, pemindahan itu hanya membabitkan sebuah sekolah sekolah jenis kebangsaan Cina,” katanya. – UTUSAN










