IPOH: Menteri Besar Incorporated (Perak) (MB Inc.) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan ekonomi sekaligus pemelihara warisan negeri apabila dua inisiatif strategiknya iaitu Butik Cura Batik dan Amanjaya Travels Sdn. Bhd. (Amanjaya Travels) dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, di Basco Avenue @ Kepayang di sini hari ini.
Pelancaran kedua-dua inisiatif yang dibangunkan di bawah anak syarikat milik penuh MB Inc. itu menandakan lonjakan penting dalam usaha berterusan MB Inc. untuk menyeimbangkan agenda pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab memelihara khazanah seni, budaya dan warisan Negeri Perak yang tidak ternilai.
Saarani berkata, inisiatif itu jauh melampaui perayaan keindahan seni tekstil tempatan semata-mata, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan Batik Perak sebagai warisan yang dipakai dan dipamerkan dalam majlis rasmi, sekaligus memupuk kesedaran serta penghargaan masyarakat terhadap khazanah budaya bangsa.
“Sejajar dengan itu, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan khazanah warisan ini terus dipelihara, dihayati dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Datuk Anuar Zainal Abidin berkata, Cura Batik diperkenalkan sebagai jenama premium yang mengangkat keunggulan Batik Perak bermotifkan Bunga Kelumpang sebagai lambang kebanggaan dan identiti rasmi negeri dalam bentuk yang asli serta berprestij tinggi.
Katanya, menerusi penubuhan Butik Cura Batik, MB Inc. bukan sahaja mengangkat martabat seni warisan tempatan ke tahap yang lebih tinggi, malah turut menjana nilai ekonomi yang mampan bagi para penggiat industri kraf negeri.
Pada majlis yang sama, Saarani turut merasmikan Amanjaya Travels, sebuah anak syarikat milik penuh MB Inc. yang beroperasi sebagai sebuah Destination Management Company (DMC) untuk mempromosikan keindahan, warisan dan keunikan pengalaman pelancongan eksklusif yang ditawarkan oleh negeri Perak.
Amanjaya Travels menyediakan rangkaian perkhidmatan pelancongan dan pengurusan acara yang menyeluruh buat pelanggan korporat, agensi kerajaan, institusi serta kumpulan sendirian ke pelbagai destinasi terpilih, antaranya Royal Belum, Bandar Diraja Kuala Kangsar dan Gaharu Tea Valley, sekaligus menyumbang kepada usaha mentransformasikan landskap pelancongan negeri ke arah sebuah destinasi bertaraf global.
Pada majlis tersebut, Saarani Mohamad menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kedua-dua inisiatif berkenaan, sebelum menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MB Inc. dan Kraftangan Malaysia.
Beliau turut melawat bengkel Cura Batik bagi meninjau proses mencetak Batik Perak dan proses rawatan sisa air membatik yang dikendalikan oleh warga kerja MB Inc.
Pelancaran Butik Cura Batik dan Amanjaya Travels merupakan cerminan komitmen MB Inc. untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sosioekonomi negeri, sekaligus membuka ruang dan peluang baharu bukan sahaja kepada para penggiat industri kraf dan pelancongan tempatan, malah turut mengukuhkan kedudukan Perak sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan yang berdaya saing. – UTUSAN










