Mangsa gangguan seksual mula tampil kongsi cerita - Beto Kusyairy - Utusan Malaysia

Mangsa gangguan seksual mula tampil kongsi cerita – Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Beto Kusyairy, berkata drama bersiri Good Boys Go to Heaven mula membuka ruang buat mangsa yang pernah mengalami gangguan seksual untuk tampil berkongsi cerita pahit mereka.

Beto atau Nurkusyairy Zakuan Osman, 46, berkata sepanjang drama ditayangkan, dia menerima mesej peribadi di Instagram daripada penonton yang mengakui kejadian yang dipaparkan pernah terjadi kepada mereka.

“Pada mulanya saya fikir ramai berteori masing-masing jadi detektif. Tapi belakangan ini, saya ada baca beberapa komen dan mesej peribadi Instagram (DM) terbuka kongsi cerita mereka.

“Mereka kata ‘satu masa dulu saya pernah kena benda yang hampir sama dengan apa yang kita tonton’.

“Walaupun di media sosial, tapi setidaknya mereka ada ‘outlet’ untuk keluarkan apa yang terpendam,” katanya.

Beto ditemui Utusan Malaysia semasa sesi sidang media dan tayangan Good Boys Go To Heaven di 1 Utama, di sini, semalam.

Jelas pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-33, dia berharap drama bersiri lakonanya ini akan dapat membuka mata ibu bapa mengenai jenayah gangguan seksual dan penderaan yang dialami kanak-kanak.

“Saya harap benda ni tak jadi tabu lagi terutamanya persepsi mak bapa yang kalau dulu malu mahu buka cerita, namun rasanya sekarang sudah tidak lagi.

“Kalau zaman dulu mungkin fikir pasal maruah atau nama baik keluarga, tapi sekarang ni orang dah lebih berani untuk bawa isu ni ke muka pengadilan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Beto turut menekankan bahawa watak-watak yang dipaparkan dalam drama tersebut merupakan cerminan kepada realiti yang benar-benar berlaku dalam masyarakat hari ini, namun sering kali terselindung di sebalik pintu rumah.

“Tapi kita tak boleh nafikan benda ni berlaku dalam masyarakat kita. Ada berapa ramai yang ‘Yasser’ kat luar sana, ‘Bahamin’ dan ‘Zayd’ di luar sana.

“Saya harap dengan adanya siri ini, akan membuka mata khususnya mak bapak, para pendidik untuk mendidik anak-anak kita tentang apa itu sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat.

“Kita kena dedahkan, didik anak-anak kita apa yang betul dan apa yang salah. Kalau salah, apa yang perlu dibuat. Jangan diamkan. Itu gambaran besar yang sangat luas,” tambahnya lagi.

Drama bersiri premium Good Boys Go to Heaven menceritakan tentang kejadian pembunuhan melibatkan kanak-kanak berusia 8 tahun, Ahyan, di Kuala Makar.

Sejak mula ditayangkan, drama thriller psikologi arahan Ariff Zulkarnain ini mencuri tumpuan apabila penonton mula berbincang dan berteori mengenai suspek sebenar pembunuh Ahyan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN