SEREMBAN: Kerajaan menolak dakwaan yang mengaitkan dengan layanan tidak berperikemanusiaan diberikan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian termasuk etnik Rohingya di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia telah mengambil pelbagai langkah termasuk menyediakan Baitul Mahabbah serta memperhalusi kerangka Inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak
Menurutnya, sehingga 28 Februari lalu, enam Baitul Mahabbah beroperasi di seluruh negara yang menempatkan seramai 188 kanak-kanak termasuk tujuh kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah daripada keluarga.
“Dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
“Baitul Mahabbah merupakan langkah peralihan yang dilaksanakan kerajaan sementara kerangka Inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh diperhalusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Citra Negara Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan dakwaan seorang aktivis Rohingya berkenaan penahanan serta ketiadaan akses pendidikan diberikan kepada etnik tersebut di negara ini ketika berucap dalam satu majlis anugerah antarabangsa di Australia.
Saifuddin berkata, KDN bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak berkenaan terus diberi perhatian.
Katanya, pelaksanaan Baitul Mahabbah merupakan langkah interim bagi menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
“Inisiatif ini membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.
“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran yang lebih kondusif selain diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas serta ruang riadah yang bersesuaian dengan umur dan keadaan mereka,” katanya.
Saifuddin menambah, kerajaan juga merancang memperluaskan skop serta kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan serta kapasiti agensi pelaksana.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan perlu memainkan peranan lebih tegas serta bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian mampan.
“Tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada kritikan terhadap negara penerima, sebaliknya turut melibatkan usaha menangani punca sebenar migrasi paksa termasuk membanteras sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia.
Katanya, isu tersebut perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh kerana kemasukan pendatang secara tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia membabitkan komuniti rentan termasuk Rohingya merupakan cabaran keselamatan dan kemanusiaan rentas sempadan yang semakin kompleks.
“Dalam banyak keadaan, kanak-kanak menjadi mangsa kepada rangkaian sindiket yang mengambil kesempatan atas konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal,” katanya. – UTUSAN










