Malaysia hampir capai sasaran 35 peratus tenaga boleh baharu

Malaysia hampir capai sasaran 35 peratus tenaga boleh baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencapai sasaran 35 peratus penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dalam campuran kapasiti kuasa lebih awal daripada tempoh ditetapkan iaitu pada 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini negara telah mencapai hampir 33 peratus penggunaan TBB dan sedang bergerak ke arah sasaran seterusnya iaitu 40 peratus menjelang 2040.

Katanya, kerajaan turut menetapkan sasaran penggunaan TBB sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

“Menjelang 2050, kita perlu membekalkan tenaga boleh baharu sebanyak 70 peratus. Sekarang ini kita sudah mencapai hampir 33 peratus.

“Menjelang 2030, sasaran kita ialah 35 peratus dan insya-Allah, kita akan mencapainya lebih awal.

“Pada 2040, kita perlu mencapai 40 peratus, manakala pada 2050 pula sebanyak 70 peratus. Itu komitmen kita,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai cabaran menjadikan Malaysia sebagai hab digital dan tenaga hijau ASEAN.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan perlu memastikan keterjaminan bekalan tenaga selain memastikan tenaga yang dihasilkan mampu dibiayai oleh rakyat dan industri.

Katanya, tenaga solar kini merupakan antara sumber tenaga yang berkembang pesat, namun sifatnya yang tidak menentu memerlukan penyelesaian bagi memastikan bekalan dapat digunakan secara berterusan.

“Pada waktu siang, kadar penghasilan tenaga solar adalah tinggi, tetapi pada waktu malam tiada penghasilan. Jadi, bagaimana kita mahu menjimatkan tenaga yang dihasilkan pada waktu siang supaya dapat disimpan dan dijanakan semula pada waktu malam.

“Sebab itu kita perlu memperkenalkan sistem penyimpanan bateri. Semua ini telah kita laksanakan dan ia dibuat secara tender terbuka bagi menggalakkan penglibatan semua pihak secara telus,” katanya.

Tamba beliau, terdapat juga minat daripada pelabur luar negara untuk terlibat dalam sektor itu, namun kerajaan menetapkan syarat majoriti pegangan saham perlu dimiliki syarikat tempatan.

“Dasar kita ialah jika ada penglibatan pihak luar negara, pemegang saham majoriti mestilah dalam kalangan syarikat tempatan, iaitu 51 peratus ekuiti perlu dimiliki rakyat tempatan.

“Itu dasar yang dilaksanakan bagi memastikan ia turut membantu membangunkan industri tempatan,” katanya.

Menurut Fadillah, cabaran utama ketika ini ialah mengimbangi keperluan meningkatkan penghasilan tenaga dengan memastikan sistem grid kekal terjamin.

“Ini cabaran paling besar. Pada masa sama, isu pembiayaan juga perlu diberi perhatian kerana tanpa pihak yang sanggup memberi pinjaman, sesuatu program itu sukar dilaksanakan.

“Sebab itulah kita melaksanakan libat urus dengan semua pihak dan akhirnya apa yang kita perkenalkan setakat ini seperti Skim Perbaharui Bekalan Tenaga Korporat (CRESS), Komuniti Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu (CREAM) dan Solar ATAP mendapat sambutan yang sangat baik bukan sahaja daripada rakyat, malah syarikat dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN