GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman polis terhadap empat individu termasuk seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pertaruhan bola sepak, beberapa hari lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Said selepas meneliti permohonan reman yang dikemukakan oleh polis terhadap kesemua suspek yang berusia antara 29 hingga 44 tahun.
Kesemua suspek terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga asing sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah George Town di sini dalam keadaan bergari sambil diiringi oleh beberapa anggota polis.
Jumaat lalu, keempat-empat mereka ditahan dalam serbuan di sebuah unit kondominium di The Light Collection 1, Gelugor selepas disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Difahamkan, kesemua suspek merupakan sebahagian daripada 28 individu yang telah ditahan hasil 21 serbuan di seluruh Pulau Pinang menerusi Op Soga XI yang bermula 11 Jun lalu. – UTUSAN










