KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula bagi menentukan tarikh perbicaraan kes anak sulung Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang didakwa gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan serahan dokumen bagi perbicaraan melibatkan Asnida, 65, telah dilengkapkan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip memohon satu lagi tarikh sebutan bagi membolehkan semakan lanjut dibuat bagi memastikan sama ada masih terdapat dokumen yang perlu diserahkan.
“Bagi tujuan penyerahan dokumen, boleh dikatakan bahawa dokumen telah lengkap diserahkan buat masa ini.
“Namun demikian, pohon tetapkan satu tarikh lagi untuk pihak pendakwaan semak lanjut jika ada lagi dokumen yang perlu diserahkan selain untuk peguam sekiranya ingin memasukkan representasi dan penyerahan kenyataan pembelaan,” katanya.
Asnida yang diwakili peguam bela, Nur Izyan Azimi memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan dalam beberapa bulan selepas tarikh hari ini bagi membolehkan pihaknya meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan selain mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya berhubung cadangan mengemukakan representasi.
Pada 7 April lalu, Asnida mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mematuhi terma notis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 8 November 2023.
Dia didakwa gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam syarikat Amiraz Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Transgrade Sdn. Bhd. dan Gajah 3 Foods Sdn. Bhd.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










