Mah Sing catat jualan hartanah tertinggi RM2.51 bilion - Utusan Malaysia

Mah Sing catat jualan hartanah tertinggi RM2.51 bilion

LOGO MAHSING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencatat jualan hartanah tertinggi sejak 2015 sebanyak RM2.51 bilion bagi tahun kewangan 2025, meningkat daripada RM2.41 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan 2026, kumpulan itu menyasarkan jualan lebih tinggi iaitu RM2.76 bilion, disokong oleh nilai pelancaran baharu berjumlah RM3.45 bilion.

Ia turut merangkumi pelbagai platform pertumbuhan yang dijangka mengukuhkan pendapatan masa hadapan dan meningkatkan nilai pemegang saham jangka panjang.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, prestasi kukuh Mah Sing mencerminkan pelaksanaan strategi yang telah dilaksanakan secara konsisten selama bertahun-tahun.

“Kami memberi tumpuan kepada segmen pasaran yang berdaya tahan, mengekalkan disiplin kewangan dan membina pelbagai enjin pertumbuhan untuk mencipta nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham.

“Selain jualan hartanah jangka pendek, kami sedang mengukuhkan asas pendapatan masa hadapan.

“Ia melalui pemerolehan tanah strategik, pembangunan industri dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), pembangunan premium, peluang berkaitan pusat data dan peningkatan perniagaan pembuatan kami,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tahun kewangan 2025, Mah Sing mengekalkan pembayaran dividen dengan nisbah hampir 50 peratus, antara yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun, selain meneruskan rekod pembayaran dividen tanpa gangguan selama dua dekad.

“Strategi berdisiplin ini membolehkan kumpulan terus mengembangkan rangka pembangunan sambil mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat, sekali gus menyokong pulangan berterusan kepada pemegang saham,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kumpulan itu memperluaskan bank tanahnya pada 2025 menerusi pemerolehan enam lot strategik dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekitar RM6.4 bilion.

Antara projek utama ialah MS Industrial Park @ Kulai seluas 419.17 ekar dengan GDV kira-kira RM2.26 bilion yang akan dibangunkan bersama KLK Land.

Terletak dalam JS-SEZ, projek itu disasarkan dilancarkan pada separuh kedua 2026 dan dijangka mendapat manfaat daripada permintaan dalam sektor industri, logistik, pembuatan termaju serta ekosistem pusat data.

Mah Sing turut memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) dengan memperuntukkan beberapa tapak strategik di Southville City, Meridin East dan MS Industrial Park @ Kulai bagi pembangunan berkaitan pusat data, tertakluk kepada keadaan pasaran dan kajian kebolehlaksanaan.

Bagi lima bulan pertama tahun kewangan 2026, kumpulan itu mencatat jualan hartanah sebanyak RM978 juta, disokong permintaan berterusan terhadap projek-projek sedia ada.

Dengan pelancaran baharu sepanjang baki tahun kewangan, kumpulan yakin sasaran jualan tahunan dapat dicapai melalui penukaran jualan yang lebih kukuh.

Antara pelancaran akan datang merangkumi wilayah Tengah, Selatan dan Utara termasuk M Mira di Setapak, M Hana di Puchong, M Cora dan M Amaya di Pulau Pinang, serta M Tiara 2 dan MS Industrial Park @ Kulai di Johor.

Kumpulan itu juga akan memperkenalkan fasa baharu bagi projek sedia ada seperti M Legasi di Semenyih, M Sinar Tower B di Southville City Bangi, M Grand Minori dan Meridin East di Johor. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN