KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk M. Nasir telah memfailkan saman terhadap syarikat MyTeksi Sdn. Bhd. (MyTeksi) atau lebih dikenali sebagai Grab kerana menggunakan namanya tanpa kebenaran untuk menjual dua jenama produk minuman kopi di GrabMart dan GrabFood.
Saman tersebut difailkan pada 27 April lalu melalui firma guaman Tetuan Zulpadli & Edham di Mahkamah Tinggi di sini. Sesalinan dokumen writ dan penyataan tuntutan saman itu diperolehi melalui carian fail secara dalam talian.
Syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. dan M. Nasir atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Mohamed selaku plaintif pertama dan kedua menamakan MyTeksi sebagai defendan tunggal dalam saman tersebut.
Berdasarkan semakan, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (Dagang), Malarselvi Sanmugam pada 29 Jun ini.
Menurut penyata tuntutan yang difailkan, pada 23 April 2025, MyTeksi didakwa telah menggunakan nama atau jenama M. Nasir tanpa kebenaran penyanyi itu dalam iklan penjualan dua jenama kopi di platform media sosial Instagram melalui akaun rasminya iaitu @grabmy dan @grabfoodmy lengkap dengan frasa “Kopi-kopi kegemaran M Nasir.”
Dalam satu temu bual dengan sebuah portal, Ketua Pemasaran Grab Malaysia, Ko Li Ping dengan jelas menyatakan “the iconic M. Nasir” sekali gus mengesahkan bahawa iklan tersebut merujuk kepada penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu dan bukan merujuk kepada mana-mana individu lain yang kebetulan mempunyai nama sama.
Pengakuan tersebut menunjukkan bahawa penggunaan nama “M. Nasir” bukanlah bersifat kebetulan, berunsur humor, umum atau tidak disengajakan dan iklan tersebut sememangnya dirangka dengan mengambil kira nama baik yang wujud dalam nama tersebut.
Tindakan MyTeksi itu merupakan satu tindakan salah nyata (misrepresentation) dan telah menyebabkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan orang awam, pengguna media sosial terutama pelanggan defendan dan peminat M. Nasir.
Penyataan “Kopi-kopi kegemaran M Nasir” dengan jelas mencadangkan bahawa Duta Kemanusiaan selebriti pertama bagi MERCY Malaysia menyokong atau mengendors produk dan perkhidmatan GrabFood dan GrabMart dan memberi kesan negatif terhadap nama baik dan reputasi penyanyi itu.
Kegagalan MyTeksi untuk meletakkan sebarang penafian atau nota penjelasan untuk menjelaskan bahawa “M. Nasir” dalam iklan tersebut tidak berkait atau mempunyai M. Nasir dalam produk atau perkhidmatan tersebut.
Tindakan defendan mengeluarkan iklan tersebut tanpa tanpa sebarang kebenaran, penjelasan atau penafian berhubung penglibatan plaintif-plaintif telah melanggar dan mengganggu hak eksklusif Luncai Emas untuk mengawal penggunaan jenama “M. Nasir” terutamanya dalam konteks komersial.
Pemegang watak Hang Tuah dalam filem Puteri Gunug Ledang itu juga telah kehilangan eksklusiviti namanya, reputasi jenama beliau sudah terganggu dan terjejas apabila dikaitkan dengan promosi yang bersifat kasual dalam pasaran berskala besar.
Pada 21 Mei 2025, kedua-dua plaintif telah menghantar notis tuntutan kepada MyTeksi dan memaklumkan bahawa frasa “Kopi-kopi kegemaran M Nasir” dalam iklan tersebut adalah tanpa sebarang kebenaran Luncai Emas dan M. Nasir sendiri merupakan suatu penggunaan yang menyalahi undang-undang.
Sekitar Jun 2025, selepas menerima notis tuntutan itu, defendan telah memadam hantaran iklan tersebut di media sosial miliknya, namun tidak pernah membuat sebarang pembayaran ganti rugi atau pampasan akibat daripada tindakannya mengeluarkan iklan berkenaan.
Sehubungan itu, Luncai Emas dan M. Nasir memohon ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta dan ganti rugi teruk sebanyak RM2 juta.
Kedua-dua plaintif turut memohon satu injunksi menghalang defendan, ejen atau mana-mana pekerjanya untuk terus melakukan sebarang perbuatan salah nyata, penggunaan secara menyeleweng atau penipuan untuk menjual produk dan perkhidmatan mengguna nama ” M. Nasir ” untuk kepentingan komersial tanpa persetujuan atau kebenaran.
Plaintif juga memohon satu perintah mengarahkan MyTeksi mengemukakan keterangan keuntungan (account of profits) berkenaan penjualan minuman yang diiklankan dengan nama “Kegemaran M. Nasir “, pengiraan keuntungan yang diperoleh atas penggunaan nama “M. Nasir” untuk penilaian untuk ganti rugi atas penggunaan nama tersebut dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.
Plaintif juga memohon perintah mengarahkan defendan untuk membayar jumlah ganti rugi yang telah ditaksirkan atas keuntungan yang diperoleh atas penjualan minuman itu termasuk faedah kepada plaintif.
Kedua-dua plaintif turut memohon faedah sebanyak lima peratus setahun atas jumlah ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN










