Lombong haram: PGA rampas bauksit, jentera RM3.75 juta

Lombong haram: PGA rampas bauksit, jentera RM3.75 juta

KEADAAN tapak dipercayai lombong bauksit haram di Felda Bukit Goh, Kuantan, Pahang yang diserbu pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan perlombongan mineral dipercayai bauksit secara haram di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh di sini, semalam dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3.75 juta.

Dalam operasi bersepadu melibatkan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu, sembilan individu termasuk lima warga asing ditahan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan hasil risikan di sebuah ladang kelapa sawit Felda Bukit Goh  kira-kira pukul 11.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang lesen atau kelulusan bagi menjalankan aktiviti perlombongan manakala lima warga asing dipercayai bekerja tanpa permit atau dokumen perjalanan yang sah.

“Pasukan turut merampas tiga lori dumper, dua buah jengkaut, dua longgokan tanah disyaki mengandungi mineral bauksit dianggarkan seberat 10,000 tan metrik serta enam dokumen berkaitan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3.75 juta,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lima warga asing itu diserahkan kepada BSJD IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, tangkapan serta rampasan berkaitan aktiviti perlombongan haram pula diserahkan kepada UPNP untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

“Hasil siasatan awal mendapati tapak berkenaan dipajak kepada sebuah syarikat sejak Mac lalu bagi tujuan kerja pembersihan dan penanaman semula kelapa sawit. Bagaimanapun, semakan mendapati aktiviti mengorek tanah di lokasi itu dijalankan tanpa sebarang lesen atau kelulusan sah daripada pihak berkuasa,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, sampel tanah turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), manakala UPNP mengarahkan semua aktiviti di tapak berkenaan dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN