Lima pesalah syariah dihukum 20 sebatan di Penjara Marang

 Lima pesalah syariah dihukum 20 sebatan di Penjara Marang

ANTARA pesalah syariah yang dibawa ke Mahkamah Penjara Marang bagi menjalani hukuman  sebatan. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seramai lima pesalah syariah termasuk dua pasangan yang sebelum ini mengaku bersalah atas kesalahan khalwat berulang dan persediaan bagi persetubuhan luar nikah menjalani hukuman keseluruhan 20 kali sebatan di Mahkamah Penjara Marang, di sini hari ini.

Mereka menjalani hukuman bagi kategori Rotan Ringan (RR) selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan jenayah syariah yang dihadapi sebelum ini.

Semua pesalah tiba di Mahkamah Penjara Marang kira-kira pukul 10.05 pagi sebelum pelaksanaan hukuman selesai sepenuhnya sekitar pukul 11 pagi.

Difahamkan, proses hukuman dilaksanakan secara tertib mengikut prosedur yang ditetapkan dengan setiap pesalah disebat oleh tukang sebat yang berbeza sebelum disahkan oleh Pegawai Sebat.

Seorang wanita berusia 20 tahun menerima hukuman paling tinggi iaitu enam kali sebatan. Sementara itu, dua lagi pesalah yang merupakan pasangan kekasih masing-masing berusia 25 dan 23 tahun dikenakan empat kali sebatan setiap seorang.

Sebelum ini, kedua-dua mereka memilih untuk menjalani hukuman sebat berbanding dipenjarakan selepas gagal menjelaskan denda yang dikenakan, selain mahu mengelakkan hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022) kerana melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah di dalam sebuah kereta di daerah ini pada pukul 10.45 malam, 4 Disember tahun lalu.

Satu lagi pasangan berusia 26 dan 24 tahun masing-masing menerima hukuman tiga kali sebatan selepas didapati melakukan kesalahan berulang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2021 selepas ditangkap berkhalwat di sebuah rumah di Kerteh, Kemaman pada pukul 3.15 pagi, 15 Januari lalu.

Mahkamah sebelum ini turut menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, selepas kedua-duanya didapati pernah ditangkap atas kesalahan sama pada Januari 2025.

Semua lima pesalah yang menjalani hukuman sebat itu dijadualkan dibebaskan pada hari yang sama selepas selesai menjalani hukuman masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN