PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan tiada kemalangan jiwa membabitkan warga Malaysia susulan insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Wilayah Narathiwat, Thailand yang berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi waktu tempatan hari ini.
Wisma Putra memaklumkan, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang memantau rapi situasi itu.
“Laporan awal menunjukkan bahawa sebuah kenderaan warga Malaysia turut terjejas dalam letupan tersebut.
“Kementerian Luar mengesahkan pada peringkat awal ini, tiada kemalangan jiwa membabitkan warga Malaysia akibat insiden ini,” katanya dalam kenyataan.
Kata kenyataan itu, Konsulat Jeneral sedang berhubung aktif dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengumpul maklumat sahih selanjutnya.
“Ia seterusnya bagi menyalurkan sebarang bantuan konsular yang sewajarnya kepada pihak yang terjejas.
“Warga Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di wilayah-wilayah selatan Thailand dinasihatkan dengan tegas untuk kekal berwaspada, mengutamakan keselamatan diri, dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular yang pantas, warga Malaysia juga digesa mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warga Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla secara terus menerusi saluran seperti WhatsApp di + (6674) 316 274.
Terdahulu, dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera selepas terkena letupan bom di bawah pembetung di Lebuhraya 42, Kampung Phrai Wan, berhampiran daerah kecil Tak Bai, Narathiwat, hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dari Kelantan dan Muhammad Yusri Udin, 38, berasal dari Sabah.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, Abdullah mengalami kecederaan akibat serpihan bom di bahagian dahi selain kecederaan serius pada kaki kiri dan kecederaan di kepala.
Manakala, Muhammad pula hanya cedera ringan.
Kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah kenderaan berdaftar Malaysia cedera apabila alat letupan buatan sendiri (IED) yang dipasang di bawah pembetung jalan itu meletup.
Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan sedar ketika diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Narathiwat untuk menerima rawatan. – UTUSAN










