Lelaki warga Indonesia tetak isteri hingga parah serah diri

Lelaki warga Indonesia tetak isteri hingga parah serah diri

Polis melakukan pencarian senjata parang digunakan lelaki berusia 50 tahun menetak isterinya sehingga parah di Kampung Mangkupa, Kota Marudu, manakala gambar kecil suspek kejadian. - HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA MARUDU: Seorang lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai menetak isterinya sehingga parah menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Mangkupa, Jalan Popok, di sini, semalam, ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, awal pagi tadi.

 

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, suspek yang merupakan warga Indonesia tampil menyerah diri kira-kira pukul 12.15 tengah malam selepas dipercayai melarikan diri ke kawasan kebun sawit sejurus kejadian.

 

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Marudu bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada orang awam sebelum menjalankan siasatan dan pencarian suspek.

 

“Hasil pemeriksaan bersama Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menemukan sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran.

 

“Polis turut merampas pakaian dipercayai dipakai suspek ketika kejadian yang ditemukan di kawasan semak berhampiran kebun pisang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Suspek kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

 

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham selepas suspek menuduh isterinya berbual dengan jiran lelaki.

 

Pertengkaran itu dipercayai menyebabkan suspek hilang pertimbangan sebelum mengambil parang dan menyerang mangsa sehingga wanita berkenaan mengalami 14 kecederaan di beberapa bahagian badan.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN