Lelaki Pakistan menyamar doktor dita

Lelaki Pakistan menyamar doktor ditahan

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar penyamaran seorang 'Doktor' tanpa dokumen sah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki Pakistan yang menyamar sebagai doktor serta menjalankan amalan perubatan tanpa kelayakan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah klinik swasta di Subang Bestari, Selangor.

Operasi Khas kira-kira 11.52 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya melalui risikan selama sebulan. 

Imigresen berkata, semakan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

Menurutnya, tangkapan itu adalah kes keempat dikesan JIM sejak 2024 membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah.

“Dalam serbuan itu, Imigresen turut menyita pelbagai barangan termasuk peralatan perubatan, cap nama suspek dan klinik, tablet, buku rekod urus niaga, dokumen Perakuan Amalan Tahunan (APC) serta dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan premis klinik swasta untuk menjalankan aktiviti perubatan secara tidak sah selain diambil bekerja oleh individu warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi mengaburi pihak berkuasa dan meyakinkan pesakit, klinik berkenaan dipercayai menggunakan dokumen APC serta kelayakan perubatan milik individu lain.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati klinik terbabit dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) tanpa menjalankan pemeriksaan atau penilaian kesihatan terhadap pelanggan dengan mengenakan bayaran RM20 bagi setiap sijil.

“Klinik itu dipercayai beroperasi sejak lapan bulan lalu. Suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang wanita tempatan diberikan notis hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan,” katanya.

Pihak Imigresen, katanya, akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN