GUA MUSANG: Seorang lelaki maut akibat tercampak keluar dari kereta sebelum tersangkut pada dahan pokok kelapa sawit dalam kemalangan di Kampung Panggong Jaya, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.58 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan lori.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, setibanya anggota di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.11 pagi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan.
“Terdapat seorang mangsa berusia 41 tahun tercampak keluar dari kereta dan badannya tersangkut pada dahan kelapa sawit berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis. – UTUSAN










