Lelaki maut jatuh jejambat ketika lari dari polis

Lelaki maut jatuh jejambat ketika lari dari polis

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang lelaki maut selepas disyaki terjatuh dari jejambat ketika cuba melarikan diri daripada polis sejurus kenderaan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai Dalam di sini semalam.

Kejadian berlaku pada pukul 9.50 malam ketika Unit Kereta Peronda (MPV) dari Balai Polis Petaling Jaya yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah telah mengejar Proton Wira tersebut kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis mengejar kenderaan itu dari Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) berhampiran Tol Taman Dato Harun, Petaling Jaya sebelum berakhir di Jalan Pantai Dalam.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, Proton Wira yang dipandu seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti telah melanggar sebuah Perodua Axia sedang bergerak di lorong sama.

“Kenderaan anggota MPV kemudian mengambil tindakan menghalang Proton Wira berkenaan sehingga berlaku pelanggaran pada bahagian sisi kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, selepas kenderaan itu berhenti, pemandu Proton Wira bertindak keluar sebelum dipercayai terjatuh dari jejambat berhampiran.

“Suspek ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.

Fadil berkata, pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun dan anggota polis berusia 38 tahun yang memandu kenderaan MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun berada di dalam Proton Wira, salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan patah kaki kanan dan menerima rawatan di PPUM manakala seorang lagi telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap Proton Wira itu menemukan satu beg mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dan pil kuda.

“Hasil saringan air kencing ke atas salah seorang suspek yang ditahan mendapati dia positif methamphetamine.

“Semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah serta kesalahan dadah lampau dan seorang daripada mereka dikesan sebagai individu dikehendaki polis,” katanya.

Menurut beliau, kes dadah disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala siasatan kemalangan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN