PETALING JAYA: Sektor perdagangan luar Malaysia mencatatkan prestasi luar biasa apabila merekodkan lebihan dagangan tertinggi sebanyak RM132.77 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
Pencapaian bagi tempoh lima bulan tersebut melonjak hampir tiga kali ganda berbanding RM46.93 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), prestasi cemerlang itu didorong oleh pertumbuhan perdagangan keseluruhan yang berkembang 18.3 peratus tahun ke tahun mencecah RM1.455 trilion.
Lonjakan pasaran yang dipacu oleh permintaan tinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tenaga global itu menyaksikan nilai eksport negara melonjak 24.3 peratus kepada RM793.84 bilion.
Kadar pertumbuhan eksport tersebut sekali gus berjaya mengatasi pertumbuhan import yang meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM661.07 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) melonjak 39.7 peratus kepada RM382.89 bilion.
Kenaikan sektor berkenaan dipacu oleh peningkatan luar biasa sebanyak 61.6 peratus dalam eksport semikonduktor yang dikhususkan untuk infrastruktur AI global.
“Produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 22.9 peratus dan 1.5 peratus, hasil lonjakan harga tenaga global susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
“Tambahan pula, eksport komponen automotif dan kenderaan elektrik (EV serta EV hibrid plug-in) dalam industri dan pertumbuhan bernilai tinggi (HGHV) turut berganda 115.8 peratus, membuktikan kedudukan kukuh Malaysia dalam rantaian nilai global,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kedudukan Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, naik daripada kedudukan ke-23 pada tahun sebelum ini.
Beliau menyifatkan pengiktirafan antarabangsa itu sebagai bukti nyata bahawa asas ekonomi negara berada pada landasan yang betul dalam membina ekosistem perniagaan yang cekap serta kompetitif.
“Lebihan dagangan rekod RM132.77 bilion dan kedudukan dalam kelompok 15 teratas daya saing dunia yang dicapai dalam tempoh sama menceritakan kisah yang sama iaitu Malaysia kini destinasi perniagaan yang lebih dipercayai,” katanya.
Selain pasaran tradisional, Malaysia berjaya mempelbagaikan landskap eksportnya merentasi rantau baharu termasuk Amerika Latin, Asia Tengah, Oceania, Afrika serta Eropah Tengah dan Timur yang secara kolektif mencatatkan pertumbuhan kukuh.
Antara pasaran yang merekodkan prestasi luar biasa termasuklah Mexico (+46.2 peratus), Brazil (+18.5 peratus), Uzbekistan (+33.8 peratus), Croatia (+117.9 peratus), Bulgaria (+106.9 peratus) dan Hungary (+64.6 peratus).
Lonjakan ketara turut dikesan di beberapa pasaran perintis seperti Sudan (+264.0 peratus), Liberia (+140.2 peratus) dan Republik Demokratik Congo (+137.8 peratus).
Bagi mendepani cabaran semasa, Matrade komited memantau perkembangan di Asia Barat bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan global yang dihadapi oleh penggiat industri dan pengeksport tempatan.
“Melalui 47 pejabat perdagangan luar negara Matrade serta Pasukan Tugas Khas Daya Tahan Perdagangan (Trade Resilience Task Force), kami akan konsisten mengadakan libat urus bagi mempermudah akses pasaran dan memastikan eksport terus berkembang,” katanya. –UTUSAN










