KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat akhirnya terubat apabila kumpulan K-pop popular, EXO kembali mengegarkan Kuala Lumpur menerusi jelajah dunia EXO PLANET #6 – EXhOrizon yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.
Konsert yang bermula pada jam 8 malam itu menyaksikan ribuan peminat atau lebih dikenali sebagai EXO-L, membanjiri stadium bagi menyaksikan kemunculan semula idola mereka selepas kali terakhir mengadakan persembahan di Malaysia pada tahun 2019.
Walaupun kini hanya tinggal 5 orang anggota kumpulan, EXO tetap meraih sokongan dan sorakan yang cukup gemuruh daripada EXO-L daripada awal sehingga konsert berakhir.
Kali ini di Kuala Lumpur, sepanjang tempoh dua jam, EXO membawakan lagu-lagu yang cukup popular di kalangan EXO-L antaranya Growl, Monster, Ko Ko Bop, Tempo, Love Shot, Don’t Go, Baby Don’t Cry dan Love Me Right selain deretan lagu-lagu baharu daripada album REVERXE termasuk ‘Crown’.
Yang menarik sekali, atmosfera di stadium menjadi lain setiap kali ‘lightstick’ EXO-L bertukar warna untuk setiap lagu yang mereka nyanyikan.
Ini mencipta suasana yang cukup memukau mata sepanjang berlangsungnya konsert ini.

Walaupun cuaca cukup panas pada malam itu, ini tidak menjadi penghalang buat EXO untuk membuktikan populariti mereka di rantau ini masih lagi utuh apabila ramai peminat daripada Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam turut datang menonton mereka.
Lebih sedekad berada dalam industri muzik, EXO membawakan jelajah ini buat seluruh peminat mereka menersui EXhOrizon yang bermaksud horizon atau ufuk, simbol kepada permulaan baharu buat mereka selepas kehilangan 7 orang anggota kumpulan.
Bermula dengan Seoul, siri jelajah Asia ini memilih beberapa negara, antaranya Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi selain Indonesia dan Singapura.








