Lari sekatan polis, dua lelaki naik Perodua Viva ditahan bersama dadah

Lari sekatan polis, dua lelaki naik Perodua Viva ditahan bersama dadah

Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada pengguna jalan melibatkan aksi cobaan melarikan diri kereta Perodua Viva disyaki memiliki dadah sebelum hilang kawalan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lelaki yang melarikan diri selepas enggan memberhentikan kereta ketika diarahkan polis ditahan selepas merempuh tiga kenderaan dalam kejadian di Jalan Kuching di sini, semalam.

Penahanan kira-kira 5.30 petang itu turut menemukan dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram dalam Perodua Viva terbabit. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju yang sedang menjalankan tugas mengesan sebuah kereta Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan di kawasan Wangsa Maju.

Menurutnya, pemandu bersama seorang penumpang dipercayai enggan memberhentikan kenderaan apabila diarahkan oleh pihak polis.

“Susulan itu, berlaku insiden kejar dari kawasan Wangsa Maju sehingga ke Jalan Kuching.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu Perodua Viva dipercayai memandu secara berbahaya dengan bergerak di antara lorong kiri dan kanan jalan sebelum hilang kawalan.

“Kereta itu kemudian merempuh tiga kenderaan yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki berusia 40 dan 42 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram.

Kes dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman hari ini bagi membantu siasatan, manakala kes kemalangan pula disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Empat kenderaan terlibat dalam kemalangan itu iaitu Perodua Viva dipandu suspek, sebuah Perodua Bezza, Honda City dan sebuah lagi Perodua Viva.

“Kejadian hanya mengakibatkan kerosakan pada semua kenderaan terbabit dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan,” katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline IPD Sentul di talian 03-4048 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular satu video di Thread menunjukkan sebuah Perodua Viva dipandu dalam keadaan bahaya di jalan raya sehingga merempuh beberapa kenderaan lain.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN